backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

2

Tanya Doktor
Simpan

12 Warna Air Kencing Tidak Normal Yang Anda Kena Tahu! Hitam Pun Ada?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 05/10/2022

    12 Warna Air Kencing Tidak Normal Yang Anda Kena Tahu! Hitam Pun Ada?

    Umumnya, warna urin yang kita semua sering anggap sebagai normal adalah di antara kuning dan jernih. Namun, tahukah anda bahawa ada banyak lagi warna lain?

    Ya, air kencing sebenarnya mempunyai pelbagai warna yang berbeza dan ia mungkin akan dipengaruhi oleh faktor lain seperti tahap kesihatan individu itu sendiri.

    Warna-warna ini pula mungkin boleh jadi indikator sama ada anda sihat atau tidak. Jom teruskan membaca artikel ini untuk tahu tentangnya dengan lebih lanjut.

    Kaitan warna air kencing & kesihatan

    Kadangkala, kita semua mungkin tidak perasan akan variasi warna air kencing kerana kurang peduli mengenai kaitannya terhadap tahap kesihatan tubuh badan.

    Pun begitu, anda perlu tahu bahawa ia sebenarnya dipengaruhi oleh makanan yang anda makan, minuman yang anda minum serta ubatan tertentu yang anda ambil.

    Persoalannya, apakah warna urin yang dianggap normal dan tidak? Tenang, kami ada jawapannya!

    Apa warna urin yang mungkin normal?

    Ramai doktor telah mengklasifikasikan warna air kencing yang normal sebagai ‘urochrome’. Berikut merupakan variasi warna urin yang mungkin normal:

    warna urin

    #1. Warna kuning jernih

    Merupakan warna yang paling umum dan biasa ditemui, ia adalah petanda bahawa urin anda adalah normal dan mungkin tidak ada masalah berkaitan dengannya.

    #2. Warna jerami pucat

    Jika anda ada warna urin seperti ini, anda boleh dianggap bertuah kerana ia adalah warna yang paling sihat dan menandakan anda terhidrasi dengan sempurna.

    Apa warna urin yang tidak normal?

    Selain dua warna yang telah kami nyatakan di atas tadi, ada beberapa warna air kencing lain yang mungkin dikategorikan sebagai tidak normal termasuklah:

    Warna urin tidak normal #1. Tidak berwarna

    Air kencing yang langsung tidak berwarna mungkin menandakan bahawa tubuh badan anda mengalami terlebih hidrasi kerana minum terlalu banyak air.

    Meskipun tidak begitu berbahaya seperti dehidrasi, ia akan membuat anda kerap kencing lantas membuang mineral penting seperti elektrolit dari tubuh badan.

    #2. Warna kuning gelap

    Sebenarnya, anda masih boleh anggap ia adalah normal kerana masih ada warna kuning namun ini merupakan petanda bahawa anda mungkin ada dehidrasi ringan.

    #3. Warna madu ambar

    Ia mungkin petanda anda ada dehidrasi. Jika anda ada air kencing berwarna seperti ini, disarankan agar anda minum lebih banyak air.

    #4. Warna oren terang

    Warna ini mungkin menandakan anda ada ambil makanan atau minuman dengan pewarna, lebihan vitamin B dari darah ataupun ada masalah berkaitan organ hati atau hempedu.

    Warna urin tidak normal #5. Oren

    warna urin

    Anda mungkin sedang mengambil ubatan tertentu seperti rifampin atau phenazopyridine dan ini adalah kesan sampingan biasa yang tidak perlu terlalu dibimbangkan.

    #6. Warna oren gelap

    Warna ini mungkin menandakan anda mengalami simptom penyakit jaundis, rhabdomyolysis atau sindrom Gilbert. Segera berjumpa doktor untuk nasihat, ubatan dan rawatan.

    #7. Warna merah jambu

    Menurut Pakar Nefrologi Dr Dena Rifkin, air kencing berwarna pink mungkin disebabkan oleh pengambilan ubi bit, beri biru atau pokok rhubard yang tidak berbahaya.

    Namun, ia juga mungkin boleh jadi petanda masalah lebih besar sekiranya warna urin ini lebih cenderung ke merah. Sila teruskan membaca warna yang seterusnya.

    Warna urin tidak normal #8. Merah

    warna urin

    Warna merah seakan darah pada air kencing (hematuria) yang merupakan petanda mungkin ada jangkitan, batu karang atau tumor di dalam salur kencing.

    Selain itu, ia juga boleh jadi disebabkan masalah prostat, keracunan merkuri atau gangguan jarang berlaku iaitu porphyrias. Jadi, jangan berlengah untuk berjumpa doktor.

    #9. Warna putih susu

    Seakan air mani, ia mungkin disebabkan oleh pengambilan mineral seperti kalsium, fosfat atau protein yang berlebihan atau petanda jangkitan salur kencing.

    #10. Warna biru

    Selain disebabkan oleh beberapa pewarna makanan atau ubatan tertentu, ia juga mungkin petanda gangguan metabolik sindrom blue diaper yang perlu rawatan lanjut.

    #11. Warna hijau

    Bagi sesetengah individu, makan sayur seperti asparagus mungkin adalah puncanya. Namun ia juga mungkin petanda ada jangkitan bakteria pada salur kencing anda.

    Warna urin tidak normal #12. Hitam

    Paling menakutkan, ada warna air kencing yang berwarna hitam akibat keracunan tembaga atau fenol serta kondisi melanoma. Segera berjumpa doktor untuk diagnosis.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 05/10/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan