backup og meta

Pernah Tengok Orang Pakai Tiub Untuk Kencing? Fahami Fungsi Kateter Urin Buat Pesakit Sukar Buang Air Kecil

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 08/10/2021

    Pernah Tengok Orang Pakai Tiub Untuk Kencing? Fahami Fungsi Kateter Urin Buat Pesakit Sukar Buang Air Kecil

    Kateter urin merupakan sejenis tiub nipis dan fleksibel yang boleh membawa cecair atau urin keluar dari badan pesakit. Pemasangan kateter selalunya dilakukan oleh doktor atau jururawat yang bertanggungjawab terhadap pesakit. 

    Kateter urin boleh didapati di dalam pelbagai bentuk dan saiz. Malah, ia juga diperbuat daripada pelbagai jenis material seperti getah, silikon atau teflon.

    Siapakah yang perlu memakai kateter? Selalunya, pesakit yang tidak boleh mengosongkan pundi kencing secara normal (tidak boleh ke tandas) perlu memakai kateter untuk memudahkan pengeluaran urin.

    Pesakit harus memakai kateter urin sehinggalah mereka mampu untuk membuang air dengan sendirinya. Selalunya, ini tidak akan memakan masa yang lama.

    Walau bagaimanapun, pesakit yang mengalami kemalangan atau kecederaan kekal mungkin perlu menggunakan kateter untuk jangka masa yang lebih lama atau secara kekal.

    Jenis kateter urin

    kateter urin

    Terdapat 2 jenis kateter:

    1. Intermittent catheters: Kateter jenis ini akan dimasukkan ke dalam pundi kencing secara sementara dan dibuang setelah pundi kencing kosong.
    2. Indwelling catheters: Kateter ini boleh dibiarkan di tempatnya selama berhari-hari. Ia disokong oleh sebuah belon kecil di dalam pundi kencing.

    Ramai pesakit yang suka menggunakan indwelling catheter kerana lebih memudahkan mereka. Walau bagaimanapun, disebabkan ia dibiarkan di dalam pundi kencing dalam tempoh masa yang lama, kateter urin jenis ini boleh menyebabkan jangkitan.

    Pemasangan kateter urin akan menyebabkan rasa sakit. Oleh sebab itu, doktor akan menggunakan anaesthesia untuk mengurangkan kesakitan.

    Selain itu, pemakaian kateter juga boleh membuatkan pesakit rasa tidak selesa. Namun, lama-kelamaan, kebanyakan pesakit yang pernah memakai kateter akan terbiasa dengannya.

    Mengapa ada pesakit yang perlu memakai kateter urin?

    Pundi kencing kita mempunyai kapasiti sebanyak 300 – 500 ml. Disebabkan keupayaan penyimpanan yang terhad, kita perlu ke tandas untuk membuang air sebanyak 6 hingga 10 kali dalam masa 24 jam.

    Walau bagaimanapun, ada pesakit yang mengalami masalah untuk membuang air disebabkan penyakit atau kecederaan pada kawasan saluran urinari.

    Oleh sebab itu, pesakit ini memilih untuk melakukan pemasangan kateter untuk memudahkan mereka membuang air kecil. 

    Mekanisme yang mengawal pengeluaran urin sebenarnya dikawal oleh pelbagai jenis saraf yang kompleks. Saraf ini meliputi bahagian pundi kencing dan bersambung ke otak melalui saraf tunjang.

    Sebab itulah, kita dapat membuang air dengan sepenuhnya pada masa dan tempat yang betul. Koordinasi antara pundi kencing dan uretra juga membolehkan urin disimpan tanpa sebarang kebocoran.

    Jika anda perlu memakai kateter dalam jangka masa yang lama, doktor akan memberikan panduan untuk menjaga kateter sebelum anda meninggalkan hospital.

    Nasihat yang diberikan termasuklah cara pemakaian yang betul dan bagaimana hendak mengesan komplikasi seperti jangkitan dan sebagainya.

    Risiko mengalami UTI disebabkan kateter urin

    kateter urin

    Masalah utama yang berlaku disebabkan pemakaian kateter adalah jangkitan pada kawasan uretra, pundi kencing ataupun buah pinggang.

    Jangkitan ini turut dikenali sebagai jangkitan saluran kencing atau UTI (urinary tract infections). Selalunya, jangkitan ini perlu diubati dengan antibiotik.

    Pesakit boleh mendapat UTI setelah menggunakan kateter secara jangka pendek atau jangka panjang. Walau bagaimanapun, kateter yang digunakan dalam jangka masa yang panjang lebih berisiko untuk mendatangkan jangkitan.

    Pengguna kateter urin perlu menjaga kateter mereka dengan baik. Selain itu, ia juga perlu dimasukkan dengan betul dan digunakan hanya dalam jangka masa tertentu.

    Selain UTI, kateter urin juga boleh menyebabkan pelbagai masalah lain seperti sakit pada kawasan abdomen, kebocoran atau halangan urin dan kerosakan pada kawasan uretra.

    Jika dipakai dengan betul, pesakit yang memakai kateter urin boleh hidup dengan normal seperti orang lain.

    Beg kateter tersebut juga boleh disorokkan di bawah baju dan pesakit masih boleh bekerja, bersenam, berenang dan melakukan seks walaupun dengan pemakaian kateter.

    Jumpa doktor jika mengalami komplikasi

    kateter urin

    Jika anda memakai kateter, pastikan anda berjumpa doktor dengan kadar segera sekiranya mengalami masalah seperti:

    1. Sakit abdomen atau rasa kejang yang tidak berhenti.
    2. Pendarahan di sekitar kateter urin.
    3. Demam.
    4. Air kencing bocor di sekitar kateter.
    5. Alami masalah kulit.
    6. Ada batu atau pasir di dalam kateter atau beg.
    7. Air kencing berbau kuat dan pekat.
    8. Tidak ada air kencing yang keluar walaupun anda minum banyak air.

    Jika kateter yang dipakai tersumbat, ada risiko untuk anda mengalami jangkitan. Oleh sebab itu, ia perlu ditukar dengan kadar yang segera.

    Kesimpulan

    Penggunaan kateter amat membantu pesakit yang mengalami kesukaran untuk membuang air kecil atau menghidap penyakit seperti retensi urin, inkontinens urin atau penyakit lain seperti sklerosis berbilang atau demensia.

    Walau bagaimanapun, pesakit haruslah menjaga kebersihan diri ketika menggunakan kateter urin untuk mengelakkan sebarang jangkitan.

    Jangkitan yang berlaku disebabkan pemasangan kateter boleh menyebabkan ketidakselesaan. Oleh sebab itu, jika anda mengalami sebarang masalah, pastikan anda berjumpa doktor dengan kadar yang segera.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 08/10/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan