backup og meta

Kuku Kaki Hitam Gara-gara Aktif Bersukan? Ini Kaedah Keringkan Darah Beku Di Bawah Kuku!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 05/10/2022

    Kuku Kaki Hitam Gara-gara Aktif Bersukan? Ini Kaedah Keringkan Darah Beku Di Bawah Kuku!

    Kaki menjadi medium pertama yang melakukan kontak dengan tempat yang dikunjungi. Oleh itu, kuku jari kaki kita amat mudah terdedah dengan kecederaan, antaranya, darah beku di kuku.

    Pembentukan darah beku di kuku mempunyai gelaran saintifiknya tersendiri, subungual hematoma.

    Pendarahan ini boleh menyebabkan perubahan warna yang gelap, yakni kuku hitam, tekanan, dan kesakitan.

    Bukan sahaja menyakitkan, perubahan warna kuku juga tidak enak dipandang.

    Jadi, apa yang perlu dilakukan sekiranya anda alami masalah darah beku di kuku? Jom baca!

    Darah beku di kuku @ subungual hematoma

    Subungual hematoma adalah istilah perubatan untuk pendarahan dan lebam di bawah kuku.

    Kondisi ini biasanya disebabkan oleh beberapa jenis kecederaan pada saluran darah di bawah kuku.

    Sebagai contoh, saluran darah boleh pecah dan membocorkan darah ke kawasan di bawah kuku apabila kaki terlanggar pintu atau terjatuhkan objek berat ke jari kaki.

    Kondisi menyakitkan ini juga boleh berlaku apabila jari kaki alami tekanan secara berulang kali apabila kaki dipakaikan kasut yang terlalu ketat.

    Hal ini acap kali berlaku terutama apabila penggemar sukan memakai kasut yang tidak bersesuaian saat melakukan aktiviti sukan seperti tenis, bola sepak atau bola keranjang.

    Tidak hanya terhad pada aktiviti sukan, kondisi ini turut menimpa golongan pelari dan pejalan kaki, terutama mereka yang sering berlari atau mendaki bukit.

    Apabila anda memakai saiz kasut yang tidak mempunyai ruangan hadapan mencukupi, saluran darah di bawah kuku berupaya pecah, lantas mengakibatkan kuku hitam.

    Atas sebab-sebab ini, kondisi ini kadangkala digelar sebagai runner’s toe or tennis toe.

    Tanda-tanda & simptom darah beku di kuku

    darah beku di kuku

    Subungual hematoma mudah dikenal pasti dengan penampilannya. Tanda dan simptomnya pula merangkumi:

    1. Warna kuku kemerahan atau ungu yang berubah menjadi coklat gelap dan kemudian kehitaman.
    2. Sakit yang berdenyut dek kerana tekanan darah yang terkumpul di bawah kuku.
    3. Kuku terasa sakit apabila disentuh.
    4. Rasa sakit biasanya mereda beberapa hari selepas kecederaan.

    Diagnosis subungual hematoma

    Berdasarkan sejarah dan ujian fizikal, kebanyakan kes subungual hematoma dengan mudah dapat didiagnosis (dan dirawat) oleh golongan profesional. Melainkan berlaku patah tulang, jadi sinar-X mungkin diperlukan.

    Dalam kes yang jarang berlaku, wujud juga kondisi lain yang mungkin disalah erti sebagai subungual hematoma seperti:

    • Nail bed nevus (tahi lalat atau tanda lahir yang tumbuh dengan perlahan atau tidak sama sekali)
    • Pendarahan splinter (indikasi kepada psoriasis atau endokarditis)
    • Longitudinal melanonychia (jalur berpigmen)
    • Melanoma

    Kesemua kondisi yang telah disenaraikan ini tidak menyakitkan, dan tidak seperti subungual hematoma, mereka mungkin tidak berubah atau alami perubahan secara perlahan.

    Darah beku di kuku, apa cara merawatnya?

    #1 Rawatan di rumah

    Merawat kuku hitam di rumah tidak serumit seperti yang disangkakan. Ini perkara-perkara yang boleh anda lakukan:

  • Tinggikan kedudukan kaki yang terjejas untuk mengurangkan bengkak.
  • Tuamkan kompres sejuk atau balutan ais pada tempat yang terjejas.
  • Kompres kuku dengan pembalut yang ketat di sekelilingnya untuk mengurangkan pendarahan.
  • Ambil ubat analgesics di kaunter untuk melegakan kesakitan.
  • #2 Rawatan perubatan

    Kadangkala, subungual hematoma mungkin tidak dapat diubati dengan rawatan di rumah. Justeru, kalian perlu mendapatkan rawatan perubatan sekiranya:

    1. Pendarahan tidak berhenti.
    2. Kesakitan semakin teruk.
    3. Isi kuku rosak teruk.

    Jika luka yang dialami sangat dalam atau terbentuk luka pada kulit di sekitar subungual hematoma, doktor mungkin akan perlu menjahit luka.

    Mereka juga mungkin akan menjalankan sinar-X untuk memeriksa sekiranya berlaku patah tulang di jari kaki.

    Bagaimana cara darah beku di kuku dikeringkan?

    darah beku di kuku

    Prosedur untuk menyingkirkan subungual hematoma dikenali sebagai trephination.

    Kaedah ini dilakukan menggunakan alat tajam untuk menebuk kuku. Lubang-lubang kecil boleh dihasilkan untuk mewujudkan saluran untuk darah beku keluar.

    Sebelum prosedur, doktor akan menggunakan larutan antiseptik, seperti Povidone-iodin di atas kuku.

    Povidone-iodin, juga dikenal sebagai iodopovidone, adalah antiseptik yang digunakan untuk membasmi kuman pada kulit sebelum dan selepas pembedahan.

    Tambahan itu, anda juga mungkin akan disuntik dengan ubat anestetik setempat.

    Proses pengeringan boleh dilakukan dengan teknik-teknik di bawah:

    • Jarum: Jarum perubatan digunakan untuk menghasilkan lubang pada kuku
    • Electrocautery: Wayar yang dipanaskan ditekan pada kuku untuk menembusi lapisan kuku
    • Klip kertas: Hujung klip kertas yang tajam akan dipanaskan dan ditekan pada kuku

    Usai proses pengeringan, doktor akan meletakkan krim antibiotik ke atas kuku dan menutupnya dengan pembalut kecil.

    Kuku yang dirawat akan tercabut beberapa minggu pasca prosedur. Kebiasaannya, kuku akan tumbuh semula dalam tempoh 8 minggu ke 6 bulan.

    Namun, isi kuku yang terjejas teruk mungkin akan mengambil masa yang lebih lama.

    Kuku hitam, apa akan berlaku jika tidak dirawat?

    Subungual hematoma biasanya masih mampu sembuh dengan sendiri tanpa rawatan. Warna kuku yang gelap akan menghilang apabila kuku menumbuh.

    Selepas beberapa bulan, kuku yang baharu akhirnya tumbuh dan menggantikan kuku yang rosak atau tercabut.

    Pun begitu, perlu anda tahu, kalian mungkin bakal alami kecacatan kuku yang kekal walaupun telah merujuk dan menerima rawatan daripada doktor.

    Justeru, ingin penulis ingatkan para pembaca sekalian agar sentiasa berhati-hati dan sentiasa pilih kasut dengan ukuran yang bersesuaian.

    Jangan kerana sayangkan duit, aspek kesihatan pula diabaikan!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 05/10/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan