backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

4

Tanya Doktor
Simpan

AWAS Kalau Anda Ada Gejala Ini Pada Badan, Ia Mungkin Petanda Penyakit Sifilis!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 2 minggu lalu

    AWAS Kalau Anda Ada Gejala Ini Pada Badan, Ia Mungkin Petanda Penyakit Sifilis!

    Adakah sifilis boleh sembuh sendiri? Sebenarnya, ia adalah sejenis penyakit jangkitan kelamin yang disebabkan oleh bakteria Treponema pallidum. Ada beberapa tanda sifilis yang kita perlu perhatikan.

    Baca lebih lanjut tentang Kesihatan Seksual di sini.

    Jenis dan gejala sifilis

    Jenis Primer

    Apabila berbicara tentang gejala sifilis, lazimnya orang akan merujuk kepada tanda sifilis jenis ini. Dalam jenis ini, simptom yang berlaku kebanyakannya membabitkan alat kelamin dan juga akibat hubungan seks.

    Antara tanda sifilis adalah:

    1. Kewujudan ulser sekitar kemaluan. Untuk sifilis lelaki atau sifilis zakar, ulser atau chancre ini boleh berada di sekeliling zakar. Dalam kalangan MSM pula, ulser ini juga boleh terbentuk pada dinding dalaman dubur (akibat seks anal).
    2. Untuk wanita pula, pembentukan ulser ini lazimnya (44%) berlaku di bahagian pangkal rahim (serviks). Walau bagaimanapun, ia boleh juga terbentuk di bahagian vulva dan juga dalam vagina.
    3. Dalam wanita, ia lebih sukar dikesan kerana ia terbentuk di bahagian yang dalam dan tersorok. Ulser ini juga boleh terbentuk pada bahagian dalaman mulut (akibat seks oral). Ulser ini mempunyai kadar keberjangkitan yang sangat tinggi kerana ia mengandungi bakteria Treponema pallidum. 
    4. Pembengkakan noda limfa. Pembengkakan ini lazimnya (80%) berlaku di bahagian celah kangkang. Ia terbentuk kira-kira 7 hingga 10 hari setelah berlakunya pembentukan chancre.

    Terdapat beberapa gejala atau simptom utama sifilis termasuk:

    • Ulser di sekitar zakar bagi lelaki
    • Ulser di sekitar faraj bagi wanita
    • Pembengkakan noda limfa
    bahaya sifilis
    Beberapa simptom bahaya sifilis.

    Ulser ini tidak mengakibatkan rasa sakit, menyebabkan penghidap itu tidak perasan kewujudannya.

    Ini juga menyebabkan mereka cenderung untuk memandang enteng akan kewujudan ulser tersebut dan bertindak untuk membiarkannya sembuh dengan sendiri.

    Biarpun anda tidak mendapatkan rawatan pada tempoh kewujudan ulser ini, ulser tersebut tetap akan hilang bila-bila masa sahaja bermula daripada minggu ke-2 hingga minggu ke-6 daripada tempoh mula ianya berlaku.

    Tindakan ini adalah sangat berbahaya kerana kehilangan ulser tersebut bukan bermaksud ia telah sembuh, sebaliknya, ia telah merebak ke bahagian dalaman badan dan boleh menjadi lebih teruk – sifilis sekunder. 

    Tanda sifilis sekunder

    Apabila tahap primer tidak dirawat dan chancre telah hilang, penyakit ini akan bergerak ke tahap sekunder. Tahap sekunder berlaku sekitar 4 hingga 10 minggu selepas jangkitan primer.

    Dalam tahap ini, ia mampu untuk menzahirkan pelbagai simptom dan tanda sifilis yang lazimnya membabitkan bahagian kulit, membran mukosa dan juga limfa noda.

    Antara simptom dan tandanya adalah:

    1. Ruam simetri (sama rata taburannya pada bahagian kiri dan kanan badan) berwarna merah jambu yang tidak gatal, pada bahagian badan dan tangan termasuk tapak tangan dan kaki. 
    2. Demam.
    3. Sakit tekak.
    4. Letih dan lesu.
    5. Susut berat badan.
    6. Rambut gugur.
    7. Pening kepala.

    Ruam-ruam yang berlaku dalam tahap ini boleh wujud dalam pelbagai bentuk; rata, luas, keputihan, mirip ketuat, dan bercecair.

    Walaupun tidak seperti ulser dalam tahap primer, kesemua ruam-ruam ini tetap mengandungi bakteria Treponema pallidum dan sangat mudah untuk berjangkit kepada orang lain.

    Selain gejala di atas, manifestasi lain yang jarang berlaku untuk sifilis sekunder boleh melibatkan:

    1. Keradangan hati.
    2. Penyakit buah pinggang.
    3. Keradangan sendi.
    4. Keradangan saraf optik. 
    5. Keradangan uvea. 
    tanda sifilis
    Ulser di tangan gejala sifilis.

    Jenis Pendam

    Sifilis pendam disebut sebagai keadaan di mana seseorang itu tidak mempunyai simptom tetapi melalui ujian serologi, terdapat bukti masih ada lagi jangkitan dalam badan mereka.

    Ianya boleh dikira sebagai awal (kurang setahun daripada tempoh sifilis sekunder) atau lewat (lebih setahun daripada sifilis sekunder). Tahap ini dikatakan sebagai tahap di mana seseorang itu tidak mudah berjangkit.

    Tanda sifilis tertier

    Tahap ini adalah tahap terakhir dalam tanda sifilis jika ianya dibiarkan tidak dirawat. Tanpa menerima sebarang rawatan, dianggarkan satu per tiga akan menghidap tanda sifilis tahap ini.

    Ia boleh berlaku sekitar 3 hingga 15 tahun selepas seseorang itu mula dijangkiti buat kali pertama. Tahap tertier tidak berjangkit dan ia boleh dibahagikan kepada tiga bentuk iaitu:

    • Sifilis gummatous (15%) 
    • Neurosifilis (6.5%) 
    • Kardiovaskular (10%) 
    tanda sifilis
    Pemeriksaan darah untuk sifilis.

    Jenis Kongenital

    Jenis kongenital ini merujuk kepada keadaan di mana ibu yang telah dijangkiti (dan tidak mendapat rawatan awal atau mencukupi) menjangkiti kandungannya.

    Ia boleh berlaku sama ada ketika mengandung atau ketika proses kelahiran.

    Ketika mengandung, ia boleh menyebabkan keguguran. Sungguhpun begitu, dua per tiga daripada keseluruhan bayi yang dijangkiti tidak menzahirkan sebarang simptom.

    Bagi yang mempunyai simptom, ia lazimnya berlaku dalam tahun-tahun pertama kehidupan. Simptom tersebut adalah seperti berikut:

    1. Hati dan limpa menjadi besar (70%). 
    2. Ruam (70%).
    3. Demam (40%).
    4. Keradangan paru-paru (20%).

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 2 minggu lalu

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan