backup og meta

Jangan Memandai-Mandai Kongsi Alatan Seks, Silap-Silap Kena Jangkitan Kelamin Pula!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 17/05/2022

    Jangan Memandai-Mandai Kongsi Alatan Seks, Silap-Silap Kena Jangkitan Kelamin Pula!

    Permainan atau alatan seks, turut dikenali dengan nama sex toys merupakan antara cara untuk pasangan yang sudah berkahwin menambah rencah ke dalam hubungan kelamin mereka.

    Penggunaan sex toys ketika melakukan hubungan seks merupakan 100% atas persetujuan diri sendiri.

    Tiada salahnya jika anda menggunakan permainan seks untuk merancakkan aktiviti seksual anda. Dalam masa yang sama, normal juga jika anda tidak suka menggunakannya.

    Peralatan seks bukan sahaja bagus untuk membantu pasangan mencapai klimaks masing-masing, tetapi ia juga boleh digunakan oleh mereka yang ada masalah disfungsi seksual ataupun masalah kesihatan lain yang membuatkan kemampuan mereka terbatas.

    Walau bagaimanapun, apakah tujuan utama penggunaan permainan seks? Sudah tentulah, matlamat utamanya adalah untuk mencapai orgasma – lebih-lebih lagi dalam kalangan wanita.

    Malah, ada juga individu yang berkongsi alatan seks mereka bersama pasangan ketika melakukan hubungan intim. Bagi mereka, perbuatan ini mampu menghangatkan lagi hubungan asmara!

    Walau bagaimanapun, mungkin ramai yang tidak tahu perbuatan ini datang dengan risikonya yang tersendiri.

    Pernahkah anda dengar mengenai jangkitan kelamin, STI atau sexually transmitted infection? Jika anda gemar berkongsi sex toys bersama pasangan, STI merupakan salah satu bahaya yang anda mungkin tidak nampak!

    Bolehkah saya mendapat STI daripada alatan seks?

    alatan seks

    Jawapan pendeknya adalah ya. Anda boleh mendapat STI daripada sex toys yang anda gunakan setiap hari.

    Walau bagaimanapun, kebanyakan STI tidak dapat bertahan lama di luar tubuh badan manusia. Namun, jangan cepat-cepat tarik nafas lega!

    Jangkitan seperti gonorea, klamidia, herpes dan HPV sememangnya boleh disebarkan melalui penggunaan peralatan seks.

    Selain itu, berhati-hati jugalah semasa berkongsi alatan seks yang boleh menyebabkan luka atau pendarahan.

    Alatan seks jenis ini boleh menyebarkan jangkitan bawaan darah seperti hepatitis B, hepatitis C, HIV dan juga AIDS.

    Namun, STI hanya boleh disebarkan jika anda berkongsi alatan seks tersebut bersama orang lain. Jika anda menggunakannya seorang diri untuk tujuan masturbasi, mustahil untuk anda dijangkiti STI.

    Untuk pengetahuan anda, STI merupakan sesuatu yang lazim. Malah, menurut American Sexual Health Association hampir separuh daripada populasi dunia pernah mengalami STI sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

    Walaupun ada banyak stigma mengenai penyakit kelamin, namun ia sebenarnya amat mudah untuk dirawat.

    Malah, ada banyak cara yang anda boleh lakukan untuk kekal berkongsi alatan seks dengan selamat tanpa perlu risau mengenai risiko STI.

    Guna alatan seks secara bertanggungjawab

    alatan seks

    Untuk pengetahuan anda, peralatan seks boleh menyebarkan penyakit kelamin seperti klamidia, sifilis, herpes, vaginosis bakteria dan juga shigella.

    Malah, wanita yang gemar berkongsi alatan seks masing-masing juga berhadapan dengan risiko yang lebih tinggi untuk menghidap vaginosis bakteria.

    Alatan seks perlulah digunakan secara bertanggungjawab.

    Jika anda gemar berkongsi alatan seks bersama pasangan atau bersama pasangan yang berbeza, sex toys yang anda gunakan boleh menyebarkan STI sama seperti anda melakukan hubungan seks.

    Untuk mengelakkan perkara ini daripada terjadi, pastikan anda praktikkan ‘barrier method’. Gunakan kondom pada sex toys anda seperti dildo dan vibrator untuk menambah satu lagi lapisan perlindungan tambahan.

    Pastikan juga anda bertindak menukar kondom tersebut setiap kali ia bertukar tangan.

    Selain itu, jangan lupa basuh alatan seks anda selepas berasmara! Jangan malas-malas ya.

    Jika anda kerap membersihkan alatan seks anda selepas berhubungan intim, anda tidak lagi perlu risau mengenai STI.

    Bagaimana hendak membasuh permainan seks?

    alatan seks

    Mudah sahaja! Pertama sekali, pastikan anda tahu permainan seks yang anda gunakan diperbuat daripada bahan apa.

    Kedua, pastikan anda keluarkan item yang tidak boleh dibasuh seperti bateri dan sebagainya.

    Setiap kali anda membeli peralatan seks, ia pasti datang bersama cara untuk membersihkan dan menyimpannya dengan selamat. Oleh sebab itu, pastikan anda ikut arahan tersebut dengan betul.

    Untuk permainan seks yang boleh diguna semula, pastikan anda basuh menggunakan sabun dan air suam selepas setiap penggunaan. Kemudian, biarkannya kering terlebih dahulu sebelum menyimpannya seperti biasa.

    Selain itu, periksa alatan seks anda dengan kerap. Pastikan tidak ada bahagian yang retak atau pecah kerana kuman boleh merebak di kawasan tersebut dan menyebabkan jangkitan.

    Kesimpulan

    Peralatan seks atau sex toys boleh menjadi salah satu item yang dapat menghangatkan lagi hubungan kelamin antara pasangan suami dan isteri.

    Walau bagaimanapun, sebelum anda berkongsi permainan seks dengan orang lain, pastikan anda sendiri bebas daripada STI!

    Jika tidak, adalah salah untuk anda melakukan hubungan kelamin atau berkongsi alat seks bersama pasangan, lebih-lebih lagi jika mereka tidak mengetahui tentang STI yang anda alami.

    STI boleh diuji dan mudah untuk dirawat. Oleh sebab itu, jika anda ingin berkongsi alatan seks bersama orang lain, pastikan anda dan pasangan bebas daripada STI ya!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 17/05/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan