Visual daripada: Visual Capitalist
Walaupun rakyat Malaysia menikmati kepadatan penduduk yang agak sederhana – tidak terlalu tinggi atau terlalu rendah – berbanding dengan negara-negara jirannya, perancangan keluarga dalam kalangan rakyat Malaysia masih jauh ketinggalan berbanding dengan purata global.
Mengapa perancangan keluarga penting?
Perancangan keluarga menyumbang kepada peningkatan kesihatan ibu, pengurangan kematian ibu dan anak sewaktu kelahiran dan membasmi kemiskinan. Kajian mendapati penggunaan perancangan keluarga mengurangkan kadar pengguguran dengan sengaja.
Mengikut anggaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia, satu pertiga daripada 210 juta kehamilan yang berlaku setiap tahun adalah kehamilan yang tidak dikehendaki. Kebanyakannya berakhir dengan kelahiran mati, keguguran, dan pengguguran dengan sengaja. Lima juta wanita dimasukkan ke hospital setiap tahun untuk rawatan komplikasi keguguran seperti pendarahan dan sepsis.
Di Malaysia, wanita yang memerlukan tetapi tidak menggunakan kaedah perancang keluarga, (iaitu mereka yang ingin menghalang atau menangguhkan kelahirkan tetapi tidak menggunakan kaedah pencegahan) telah meningkat daripada 25% kepada 36% pada tahun 2004. Ini termasuk remaja yang aktif secara seksual yang tidak ingin hamil.
Akibatnya, berlaku peningkatan laporan mengenai bayi yang dibuang di Malaysia. Dengan kes terbaru ialah seorang bayi perempuan yang diletakkan dalam beg kertas yang tergantung di cermin sisi kereta di Ipoh.
Dalam kajian remaja di antara umur 18-21 tahun di Malaysia, sekitar 20% melakukan hubungan kelamin dengan pasangan mereka tanpa menggunakan sebarang kaedah pencegahan. Daripada 510 462 bayi yang dilahirkan pada tahun 2010, terdapat 52 982 kehamilan luar nikah. Apa yang pasti, para ibu ini tidak mengamalkan sebarang kaedah pencegahan.
Walaupun mendidik dan menggalakkan kaedah pencegah kehamilan kepada orang awam sering kali mencetuskan kemarahan bagi mereka yang tidak bersetuju dengan pendedahan tersebut kepada muda-mudi belum berkahwin tetapi aktif secara seksual, hakikatnya dalam kalangan wanita yang sudah berkahwin sekalipun, penggunaan kaedah pencegah kehamilan di Malaysia adalah rendah.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen