backup og meta

Alami Sakit Pankreatitis? Ini 9 Makanan Yang Anda Perlu Elak Untuk Legakan Kesakitan

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 09/01/2023

    Alami Sakit Pankreatitis? Ini 9 Makanan Yang Anda Perlu Elak Untuk Legakan Kesakitan

    Radang pankreas (pankreatitis) adalah keadaan kesihatan yang menyebabkan organ pankreas menjadi bengkak dan tidak boleh menjalankan fungsinya secara normal.

    Organ tersebut berperanan dalam mengawal proses metabolisme gula di dalam badan dan merembeskan enzim untuk mencerna makanan.

    Oleh sebab masalah kesihatan pankreatitis mempengaruhi keupayaan organ untuk mencerna makanan, jadi pesakit perlu mengamalkan corak pemakanan yang betul.

    Baca artikel ini untuk mengetahui jenis makanan yang perlu anda hindari atau makan setelah didiagnosis dengan masalah pankreatitis.

    Apa yang perlu anda makan sekiranya menghidap radang pankreas?

    Bagi memastikan fungsi pankreas anda sentiasa berada pada tahap yang optimum, anda perlu memfokuskan kepada makanan yang kaya dengan protein, rendah lemak dan mengandungi antioksidan.

    Makanan seperti daging bebas lemak, kekacang, sup dan alternatif kepada produk tenusu seperti susu kacang almond boleh meringankan beban pankreas anda.

    Kajian menunjukkan mereka yang mengalami masalah pankreatitis boleh mengambil makanan yang mengandungi 30 hingga 40% kalori dari sumber tumbuh-tumbuhan tanpa kesan buruk terhadap kesihatan.

    Bayam, bluberi, ceri dan bijirin penuh; itu antara makanan yang baik untuk sistem pencernaan anda berikutan ia mengandungi jumlah antioksidan yang tinggi.

    Ini bermakna kesan buruk yang berpunca daripada molekul radikal bebas dapat diminimumkan bagi melindungi integriti fizikal dan fungsi pankreas.

    Jika anda mengidam akan makanan manis, cuba gantikan gula-gula dengan buah-buahan. Ia lebih sihat dan boleh menurunkan risiko kencing manis.

    Gantikan snek anda dengan buah, tomato ceri, timun dan hummus bagi memaksimumkan lagi tahap kesihatan pankreas.

    Apa yang anda tidak boleh makan semasa alami radang pankreas?

    radang pankreas

    Jika anda ingin berpuasa daripada makanan yang boleh menyebabkan kerosakan pada pankreas, lihat pada senarai di bawah:

    • Daging merah
    • Daging organ dalaman haiwan
    • Makanan bergoreng
    • Cip kentang
    • Mayones
    • Mentega
    • Bahan tenusu lemak berkrim
    • Kuih dengan kandungan gula yang tinggi
    • Minuman bergula

    Kunci kepada rawatan dan pencegahan bagi masalah pankreas adalah dengan menghindarkan asid lemak trans dalam pemakanan anda.

    Makanan bergoreng seperti kentang goreng, burger dan sebagainya mempunyai kandungan lemak trans yang tinggi.

    Begitu juga dengan makanan bergoreng yang lain. Ia boleh menyebabkan masalah pankreatitis menjadi semakin teruk.

    Bahan makanan lain seperti kek, kuih dan biskut yang tinggi gula boleh membebankan pankreas berikutan keperluan insulin meningkat kesan daripada pengambilan makanan tersebut.

    Terdapat juga pantang larang dan tip lain seperti berikut jika anda ingin pulih daripada masalah radang pankreas:

    • Elakkan daripada mengambil minuman beralkohol
    • Berhenti merokok
    • Fokus kepada amalan pemakanan rendah lemak
    • Minum air kosong secukupnya
    • Ikut saranan pakar pemakanan

    Tip pemakanan yang perlu anda ikuti

    radang pankreas

    Bukan mudah untuk kita membiasakan diri dalam rutin pemakanan baharu terutamanya jika anda mengalami masalah pankreatitis.

    Berikut merupakan beberapa tip yang boleh anda ikuti untuk meringankan beban rutin pemakanan baharu:

    1. Makan 6 hingga 8 hidangan kecil sepanjang hari untuk meringankan beban pankreas. Kaedah ini jauh lebih mudah berbanding dengan 2 atau 3 hidangan besar sehari.
    2. Pilih makanan yang tergolong dalam kelas trigliserida berantai sederhana (MCT) seperti minyak kelapa bagi memenuhi keperluan pengambilan lemak anda. MCT tidak memerlukan enzim dari pankreas untuk dicerna.
    3. Elakkan daripada mengambil makanan berserat terlalu banyak dalam satu masa. Pengambilan makanan tersebut boleh melambatkan proses pencernaan dan perkara ini boleh menyebabkan fungsi enzim yang sedikit (kesan daripada punca radang pankreas) menjadi tidak efisien.
    4. Ambil suplemen vitamin terutamanya jika anda menghidap masalah pankreatitis kronik. Mereka yang menghidap masalah kesihatan tersebut cenderung untuk mengalami masalah malnutrisi terutamanya bagi vitamin larut lemak seperti vitamin A, D, E dan K.

    Jika organ pankreas anda sudah rosak teruk akibat masalah kronik, perubahan diet mungkin tidak memadai.

    Dalam konteks ini, doktor mungkin akan mempreskripsikan enzim pankreas sintetik untuk diambil semasa makan.

    Bagi yang mengalami kesakitan akibat pankreatitis, rawatan yang melibatkan terapi kawalan kesakitan seperti akupuntur boleh mengurangkan intensiti sakit.

    Jika ia tidak membantu, jalan terakhir boleh melibatkan pembedahan.

    Konklusi

    Apabila anda didiagnosis dengan masalah radang pankreas, pemakanan adalah elemen utama yang perlu diubah bagi meminimumkan proses radang yang dialami.

    Makanan yang tinggi dengan lemak trans dan gula perlu dielakkan bagi merehatkan organ pankreas.

    Sekiranya anda mengalami kesakitan akibat penyakit pankreatitis, sila rujuk doktor anda sebelum membuat perubahan terhadap pemakanan dan aktiviti rutin harian anda.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 09/01/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan