backup og meta

Najis Warna Hitam? Betul Ke Ni Sebab Tertelan Darah Yang Terkeluar Dari Hidung?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 08/06/2023

    Najis Warna Hitam? Betul Ke Ni Sebab Tertelan Darah Yang Terkeluar Dari Hidung?

    Bayangkan pada satu hari, anda mengeluarkan najis warna coklat gelap atau najis warna hitam. Tentu sahaja ia membimbangkan bukan? Pun begitu, benarkah jika ia berkaitan dengan hidung berdarah?

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Sistem Penghadaman, sila dapatkannya di sini.

    Fahami dahulu kondisi hidung berdarah

    Hidung berdarah yang juga dikenali sebagai epistaksis adalah sesuatu yang sering berlaku.

    Ia biasanya berpunca daripada salur darah kecil yang pecah sama ada di bahagian hadapan atau belakang hidung.

    Salur darah ini agak mudah pecah atau rapuh dan menyebabkan pendarahan kecil. Pendarahan hidung ini kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak yang berumur antara dua hingga 10 tahun.

    Selain itu, ia juga kerap berlaku dalam kalangan warga emas yang berumur antara 50 hingga 80 tahun.

    Kebanyakan daripada pendarahan yang berlaku ini bukanlah pendarahan yang serius dan biasanya boleh dirawat di rumah.

    Namun, bagi jenis pendarahan hidung yang lebih serius, anda perlu terus ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

    Ini kerana rawatan di rumah tidak begitu berkesan untuk menghentikan pendarahan tersebut. 

    Jenis pendarahan hidung yang boleh berlaku

    najis warna hitam

    Terdapat dua jenis pendarahan hidung yang boleh berlaku iaitu epistaksis anterior dan epistaksis posterior. Epistaksis anterior adalah pendarahan yang berpunca daripada bahagian hadapan hidung.

    Apabila salur darah di bahagian ini pecah, ia akan menyebabkan darah keluar menitik daripada lubang hidung anda.

    Epistkasis posterior pula merujuk kepada pendarahan hidung yang berlaku di bahagian belakang hidung.

    Ia juga mungkin akan menyebabkan darah keluar daripada lubang hidung tetapi ia juga mungkin tidak menyebabkan pendarahan secara jelas atau tiada darah yang keluar.

    Epistaksis posterior ini adalah lebih serius dan boleh menyebabkan seseorang itu mengalami anemia dan tinja warna hitam. 

    Bagaimana untuk rawat hidung berdarah?

    Bagi pendarahan kecil yang tidak serius, anda perlu menekan kedua-dua lubang hidung anda untuk menghentikan pendarahan.

    Sekiranya anda berada dalam posisi berdiri atau duduk, condongkan sedikit kepala anda ke hadapan iaitu ke arah lantai. Kemudian, picit dan tekan hidung anda buat sementara waktu.

    Jika pendarahan telah berhenti, elakkan daripada menghembus hidung anda kerana pendarahan boleh berlaku semula.

    Bagi pendarahan hidung yang lebih teruk dan banyak, anda disarankan untuk terus ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

    Doktor mungkin akan meletakkan kain kasa ke dalam lubang hidung untuk menghentikan pendarahan.

    Doktor juga akan melihat punca sebenar yang menyebabkan pendarahan tersebut. 

    Tertelan darah hidung boleh buat najis warna hitam?

    najis warna hitam

    Najis warna hitam disebabkan darah hidung yang ditelan bukanlah satu perkara yang biasa berlaku.

    Namun, tidak mustahil sekiranya darah yang ditelan ini boleh menyebabkan warna tinja menjadi hitam atau gelap.

    Jika seseorang individu tersebut mengalami pendarahan hidung yang teruk dan menyebabkannya tertelan banyak darah, ia sememangnya boleh menyebabkan masalah ini.

    Ini kerana, darah dengan jumlah yang banyak ini akan bertukar warna kepada hitam atau warna gelap setelah melalui saluran pencernaan.

    Bagi mereka yang mempunyai warna tinja yang hitam bukan disebabkan faktor selain hidung berdarah, makanan atau suplemen, maka ia perlu diperiksa dengan lebih lanjut oleh doktor.

    Boleh jadi najis warna hitam berpunca daripada pendarahan dalaman yang disebabkan oleh keadaan atau penyakit lain. 

    Antara punca lain najis warna hitam

    najis warna hitam

    Selain daripada darah hidung yang ditelan, ada juga beberapa punca dan sebab lain yang mungkin boleh menyebabkan masalah najis warna hitam ini.

    Sekiranya berlaku pendarahan di dalam saluran pencernaan bahagian atas seperti perut dan esofagus, maka ia boleh menyebabkan warna tinja gelap.

    Ini kerana, apabila darah tersebut bercampur dengan asid perut, ia akan diuraikan dan bertukar warna menjadi gelap.

    Najis yang berwarna hitam ini dikenali sebagai melena dan memiliki bau yang busuk. Selain itu, warna najis yang gelap dan hitam juga boleh berpunca daripada jenis makanan yang anda makan.

    Sesetengah jenis makanan yang berwarna hitam dan merah boleh menjadikan najis anda berubah gelap.

    Antara jenis makanan yang boleh menyebabkan najis berwarna gelap ialah seperti ubi bit, bluberi, gelatin berwarna merah bahkan biskut cip coklat gelap.

    Ubat-ubatan atau suplemen tertentu juga boleh menyebabkan najis berwarna hitam atau gelap.

    Antara ubat-ubatan dan suplemen tersebut ialah ubat-ubatan yang berasaskan bismut, suplemen zat besi dan juga tablet arang. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 08/06/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan