backup og meta

Legakan Sakit Mencucuk Pada Tapak Kaki Dengan 5 Cara Ini

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 11/11/2023

    Legakan Sakit Mencucuk Pada Tapak Kaki Dengan 5 Cara Ini

    Apabila terlalu lama duduk bersila, sakit tapak kaki mencucuk akan mula berlaku saat anda hendak berdiri. Namun, sakit mencucuk di tapak kaki ini boleh juga terjadi tanpa sebab yang jelas pada bila-bila masa.

    Jika ia berlaku, anda akan rasa agak sukar untuk berjalan dan kadangkala terpaksa menunggu sebentar sehingga ia kembali normal.

    Apakah punca keadaan ini terjadi? Apa pula cara yang boleh dibuat untuk melegakannya? Lihat penerangan di bawah ini. 

    Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Tulang/Otot, anda boleh klik di sini.

    Punca-punca yang boleh sebabkan sakit tapak kaki mencucuk

    sakit tapak kaki mencucuk

    Sakit mencucuk di tapak kaki bukanlah sesuatu yang asing dalam hidup kita.

    Rasa sakit ini bukan sahaja mengganggu aktiviti harian, tetapi juga boleh menjejaskan kualiti hidup seseorang.

    Jadi, apakah punca sebenar di sebalik sakit mencucuk ini dan bagaimana kita boleh merawatnya? Terdapat beberapa perkara yang memungkinkan ia berlaku.

    Antaranya ialah:

    #1. Fasciitis plantar

    Ini adalah antara punca utama sakit di tumit. Ia berlaku apabila fascia plantar, tisu tebal yang melintasi bahagian bawah kaki mengalami keradangan.

    Keadaan ini boleh disebabkan oleh berat badan berlebihan atau aktiviti berulang seperti berlari.

    #2. Neuroma morton

    Keadaan ini berlaku apabila tisu di sekitar saraf yang menuju ke jari kaki menjadi tebal. Ia biasanya memberi rasa sakit di antara jari ketiga dan keempat.

    #3. Sindrom terowong tarsal

    Keadaan ini berlaku disebabkan oleh pemampatan saraf tibial. Hal ini kemudiannya menyebabkan rasa sakit, kebas, atau rasa terbakar pada bahagian tapak kaki.

    #4. Neuropati periferi

    Keadaan ini boleh berlaku akibat pelbagai sebab, termasuklah penyakit diabetes.

    Ia boleh menyebabkan kelemahan, kebas, dan sakit pada tapak kaki disebabkan gangguan pada sistem saraf kaki.

    #5. Lebam atau bengkak pada kaki

    Keadaan ini berlaku apabila seseorang terpijak batu atau objek keras lalu menyebabkan lebam pada lemak pad tumit.

    5 cara merawat sakit tapak kaki mencucuk di rumah

    sakit tapak kaki mencucuk

    Terdapat beberapa kaedah atau tip yang berkesan bagi melegakan masalah sakit tapak kaki mencucuk ini.

    Malah, ia boleh dilakukan di rumah sahaja dengan menggunakan bahan atau gerakan ringkas.

    Antara cara yang boleh anda lakukan ialah:

    #1. Rendaman kaki. Rendam kaki dalam air suam yang dicampur dengan garam Epsom selama 15-20 minit. Proses ini akan membantu mengurangkan bengkak dan memberikan keselesaan dan kelegaan pada kaki.

    #2. Pakai kasut yang sesuai. Kasut yang memberi sokongan baik terutama di bahagian lengkungan kaki dan tumit dapat mengurangkan tekanan pada kaki dan mengurangkan kesakitan.

    sakit tapak kaki mencucuk

    #3. Lakukan senaman regangan. Dengan memasukkan kain tuala pada celah jari kaki atau menaikkan dan menurunkan tumit, ia dapat menguatkan otot kaki dan meningkatkan sirkulasi darah yang membantu mengurangkan kesakitan.

    #4. Gunakan pek ais. Meletakkan pek ais pada tapak kaki selama 15 minit setiap jam dapat mengurangkan bengkak dan keradangan pada kaki. Ia secara tidak langsung dapat melegakan rasa mencucuk yang dialami oleh anda.

    #5. Guna stoking khas. Stoking kaki ortopedik boleh membantu menyokong lengkungan kaki dan mengurangkan tekanan pada tapak kaki. Ini boleh membantu mencegah dan merawat sakit mencucuk.

    Kesimpulan 

    Sakit tapak kaki mencucuk mungkin boleh mengganggu urusan harian kita.

    Akan tetapi, dengan pengetahuan dan rawatan yang tepat, ia sebenarnya boleh diuruskan dengan berkesan.

    Justeru, adalah penting untuk memberikan perhatian kepada tindak balas badan kita dan mendapatkan rawatan yang sesuai apabila diperlukan.

    Jika sakit ini berterusan, anda sewajarnya pergi ke klinik atau hospital bagi mendapatkan nasihat daripada pakar kesihatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 11/11/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan