backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Sering Mengadu Sendi Lenguh & Sakit-Sakit, Puncanya Disebabkan 2 Radang Sendi Ini

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 05/07/2022

    Sering Mengadu Sendi Lenguh & Sakit-Sakit, Puncanya Disebabkan 2 Radang Sendi Ini

    Masalah radang sendi (artritis) lazim didiagnosis terutamanya dalam kalangan populasi berusia. Ia merupakan satu istilah umum yang merangkumi penyakit seperti artritis reumatoid (RA) dan osteoartritis (OA).

    Walaupun kedua-dua OA dan RA merupakan penyakit berbeza, namun bukan semua individu sedia maklum akan perbezaan yang dimiliki antara keduanya.

    Artikel ini akan membincangkan perbezaan di antara artritis reumatoid dan osteoartritis. 

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Tulang/Otot, sila dapatkannya di sini.

    Artritis berpunca daripada masalah autoimun vs. masalah degeneratif

    Antara perbezaan ketara di antara OA dan RA adalah berkaitan dengan proses patologi bagi kedua-duanya.

    RA adalah radang sendi yang berpunca daripada masalah autoimun manakala OA pula adalah masalah sendi yang berpunca daripada masalah degeneratif.

    Degeneratif adalah satu proses patologi yang menyebabkan kemusnahan struktur atau kehilangan fungsi secara perlahan-lahan atas faktor tertentu (sebagai contoh peningkatan usia).

    Apabila seseorang itu mengalami OA, tisu rawan mereka akan mengalami kemusnahan struktur secara perlahan-lahan. 

    Ini menyebabkan ia menjadi haus dan tulang yang dihubungkan melalui sendi boleh bergesel di antara satu sama lain. Akibatnya, keadaan ini boleh menyebabkan rasa sakit.

    Bagi masalah artritis reumatoid pula, konsepnya lebih kurang sama dengan tindak balas ketika kuman (bakteria dan virus) memasuki badan.

    Cuma, kali ini, badan anda menganggap barisan tisu lembut yang membarisi permukaan sendi sebagai ancaman.

    Ini menyebabkan sistem imun menyerang sendi sehingga mengakibatkan ia menjadi bengkak akibat proses keradangan yang berlaku.

    Mereka yang mengalami masalah RA kebiasaannya menunjukkan simptom seperti kesakitan, sendi menjadi kaku dan proses radang di sekeliling sendi.

    Jika dibandingkan dengan osteoartritis, mereka yang mengalami OA hanya menunjukkan kesan radang yang minimum.

    Faktor risiko dan simptom radang sendi OA dan RA

    radang sendi

    Walaupun kedua-dua keadaan kesihatan ini agak berbeza, ia juga mempunyai beberapa persamaan.

    Sebagai contoh, kedua-duanya sangat lazim didiagnosis dalam kalangan wanita.

    Simptom bagi RA dan OA juga kadangkala sukar untuk dibezakan. Antaranya adalah:

    • Sendi yang sakit dan kaku
    • Pergerakan terhad
    • Sakit dan rasa panas pada kawasan yang mengalami radang sendi
    • Simptom sakit boleh dirasai terutamanya apabila bangun pada waktu pagi

    Pun begitu, berbeza dengan OA yang lebih bersifat setempat (hanya pada sendi), RA merupakan satu masalah kesihatan sistemik.

    Ini bermakna, ia bukan sahaja menyebabkan simptom pada sendi (artritis). Perubahan patologi turut berlaku pada organ lain seperti jantung, peparu dan mata.

    Gejala awal yang boleh dialami adalah:

    • Demam
    • Sakit otot
    • Kelesuan 

    Mereka yang mengalami masalah artritis juga boleh mengalami ketulan keras pada permukaan kulit yang berdekatan dengan sendi.

    Ketulan tersebut dikenali sebagai ketulan reumatoid dan ia boleh menyebabkan simptom sakit.

    Artritis reumatoid boleh diwariskan kepada anak. Ia mempunyai kaitan genetik yang sangat kuat.

     Bagi masalah OA pula, faktor risiko berikut berkaitan dengannya:

  • Obes 
  • Mempunyai kecacatan sendi
  • Menghidap kencing manis
  • Menghidap masalah gout
  • Pernah mengalami kecederaan trauma pada sendi
  • Sendi yang terlibat dan rawatan radang sendi

    radang sendi

    RA dan OA boleh menyebabkan simptom pada jenis yang berbeza.

    Mereka yang didiagnosis dengan RA kebiasaannya mengalami radang sendi pada sendi kecil seperti pada jari.

    Apabila proses penyakit menjadi semakin teruk, ia boleh melarat ke sendi besar seperti lutut, bahu dan buku lali.

    RA juga merupakan penyakit yang mempengaruhi integriti sendi bagi kedua-dua belah bahagian badan (simetri). 

    Jika lutut kanan anda mengalami radang sendi, lutut kiri anda juga akan terkesan.

    Berbeza dengan OA, mereka yang didiagnosis dengan masalah kesihatan ini kebiasaan mengalami perbezaan pada tahap keterukan atau hanya sebelah sendi yang terkesan.

    Sama seperti RA, OA juga lazim berlaku pada sendi tangan dan jari. Namun ia juga lazim berlaku pada tulang belakang dan tulang pinggul.

    Matlamat rawatan bagi kedua-dua masalah kesihatan ini sama sahaja:

    1. Mengurangkan rasa sakit.
    2. Meningkatkan kualiti dan fungsi sendi.
    3. Meminimumkan tahap kerosakan sendi yang terkesan.

    Bergantung kepada keadaan, preskripsi ubat boleh jadi berbeza bagi kedua-dua masalah radang sendi tersebut.

    Terutamanya RA, ubat untuk mengawal tahap fungsi sistem imun boleh dipreskripsikan oleh doktor bagi merencatkan serangan terhadap sendi.

    Konklusi

    Kedua-dua masalah sendi (OA dan RA) boleh mempengaruhi fungsi dan kualiti hidup seseorang.

    Sekiranya anda didiagnosis dengan mana-mana masalah kesihatan tersebut, anda digalakkan untuk berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan rawatan.

    Kawalan proses penyakit boleh memberikan fungsi yang lebih baik kepada pesakit justeru, menggalakkan mereka untuk lebih produktif.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 05/07/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan