backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Selain Kawal Makan, Ini 5 Cara Mudah Untuk Mengurangkan Kolesterol!

Ditulis oleh Prof Madya Dr Norsham Juliana Nordin · Kardiologi · Hello Health Group


Disemak pada 6 hari lalu

    Selain Kawal Makan, Ini 5 Cara Mudah Untuk Mengurangkan Kolesterol!

    Pernahkah anda terfikir, apakah cara mengurangkan kolesterol yang benar-benar berkesan? Ini kami kongsikan tip mengenai bagaimana untuk menurunkan kolesterol dengan efektif.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Jantung, sila dapatkannya di sini.

    Apa sebenarnya kolesterol?

    Kolesterol adalah sejenis lemak yang tubuh perlukan untuk pembinaan sel, vitamin, dan pelbagai jenis hormon.

    Namun, kolesterol yang berlebihan boleh menimbulkan pelbagai masalah kesihatan.

    Kolesterol boleh dihasilkan sendiri oleh tubuh dan boleh didapati daripada makanan yang diambil.

    Bahan makanan daripada sumber daging dan tenusu adalah antara sumber kolesterol yang sering diambil dalam pemakanan harian.

    Kolesterol tubuh didapati dalam aliran darah, justeru peningkatan kolesterol dalam darah turut menjadi penanda kenaikan risiko terhadap penyakit jantung dan strok.

    Dua jenis kolesterol adalah:

  • Kolesterol yang tidak baik iaitu lipoprotein berketumpatan rendah (low density lipoprotein; LDL)
  • Kolesterol yang baik iaitu lipoprotein berketumpatan tinggi (high density lipoprotein; HDL)
  • Sekiranya tubuh mengandungi LDL yang berlebihan atau HDL tidak mencukupi, risiko pengumpulan kolesterol pada bahagian dalam dinding salur darah yang membawa darah ke jantung dan otak akan meningkat.

    Hasil daripada proses tersebut, salur darah utama ke jantung atau otak akan menyempit dan tersumbat, seterusnya boleh mengakibatkan serangan jantung atau strok berlaku.

    Bolehkah mengurangkan kolesterol tanpa mengawal pemakanan?

    mengurangkan kolesterol
    Kawal pemakanan untuk kurangkan kolesterol.

    Jawapannya mudah, TIDAK BOLEH.

    Suka ataupun tidak, pemakanan harus dijaga dalam usaha untuk menurunkan paras kolesterol.

    Pelbagai perubahan gaya hidup boleh dibuat untuk menurunkan paras kolesterol, namun, pemakanan perlu turut dijaga.

    Berhubunglah dengan pakar diet bertauliah untuk mendapatkan maklumat terperinci tentang diet yang sesuai dengan masalah kesihatan yang sedang anda hadapi.

    1. Ubat turunkan kolesterol

    Pengambilan ubat untuk turunkan kolesterol perlu diambil mengikut cadangan dan preskripsi doktor.

    Biasanya, doktor memberikan preskripsi ubat untuk menurunkan paras kolesterol tubuh sekiranya anda berisiko tinggi menghidap masalah jantung atau strok.

    Selari dengan preskripsi ubat yang diberi, anda perlu ikuti gaya hidup sihat merangkumi diet yang sihat serta melakukan aktiviti fizikal yang bersesuaian.

    Antara ubat yang sering diberikan oleh doktor untuk menurunkan paras kolesterol adalah statin.

    Beberapa ubat lain yang diberikan bersama statin adalah Ezetimibe, bile acid sequesterants (cholestyramine, cholestipol and colesevelam), perencat PCSK9 (alirocumab, evolocumab), fibrat (gemfibrozil, clofibrate, fenofibrate), dan niasin.

    2. Berhenti merokok juga petua hilangkan kolesterol dengan cepat

    mengurangkan kolesterol
    Merokok sebabkan kolesterol tinggi.

    Merokok serta vape boleh merendahkan kolesterol yang baik (HDL).

    Keadaan jadi bertambah buruk apabila seseorang yang mempunyai masalah kawalan paras kolesterol turut merokok.

    Ini meningkatkan lagi risiko mereka mendapat penyakit jantung koronari.

    Pilihan terbaik untuk mengurangkan kolesterol adalah dengan memilih untuk berhenti merokok.

    Ingat, sekiranya anda merokok, anda bukan sahaja meningkatkan risiko kesihatan pada diri sendiri, malahan turut membahayakan individu di sekeliling yang terdedah kepada asap rokok.

    Ayuh, sekiranya anda adalah perokok, ini adalah permulaan terbaik untuk gaya hidup sihat iaitu dengan BERHENTI MEROKOK.

    Cara mengurangkan kolesterol 3: Menurunkan berat badan

    Berlebihan berat badan atau obes meningkatkan kolesterol yang tidak baik (LDL) dan menurunkan kolesterol yang baik (HDL).

    Oleh itu, sekiranya indeks jisim tubuh (body mass index; BMI) anda dalam kategori berlebihan berat badan atau obes, fokus untuk turunkan berat badan akan turut memperbaiki paras kolesterol tubuh anda.

    Penurunan berat badan serendah 5% ke 10% didapati dapat mengurangkan kolesterol tubuh secara signifikan. Elakkan makanan perlu elak untuk kolesterol. 

    Kekal aktif untuk mengurangkan kolesterol

    Bagi menurunkan dan mengawal paras kolesterol agar terus normal, anda perlu kekal aktif.

    Gaya hidup sedentari akan menurunkan HDL, seterusnya HDL yang rendah bermakna kurang kolesterol baik yang boleh membuang kolesterol tidak baik dalam salur darah (arteri).

    Bagi individu yang tidak bersenam secara berkala, pastinya sukar untuk memulakan gaya hidup aktif.

    Oleh itu, langkah pertama yang perlu dilakukan adalah untuk mengenal pasti aktiviti yang paling menarik minat anda.

    mengurangkan kolesterol
    Sentiasa aktif untuk kesihatan jantung.

    Sekiranya tiada aktiviti yang anda gemari, mulakan dengan berjalan sebagai pilihan aktiviti.

    Saranan daripada American Heart Association (AHA) adalah dengan melakukan aktiviti berintensiti sederhana hingga intensiti tinggi selama 150 minit setiap minggu.

    Menurut kajian, aktiviti seperti saranan ini mampu menurunkan kolesterol dan tekanan darah.

    Beberapa kajian terdahulu mendapati aktiviti selama 30 minit yang diamalkan 5 hari seminggu adalah mencukupi untuk mengurangkan kolesterol yang tidak diingini sekali gus merendahkan risiko penyakit jantung.

    Makanan tambahan untuk mengurangkan kolesterol

    Terdapat pelbagai kajian telah membuktikan makanan tambahan seperti:

    • minyak ikan
    • serat boleh larut coenzyme Q10

    berpotensi untuk menurunkan kolesterol

    Minyak ikan adalah sumber yang kaya dengan omega-3 asid lemak docosahexaenoic acid (DHA) dan eicosapentaenoic acid (EPA).

    Kajian yang dilakukan mendapati 4 gram minyak ikan setiap hari mengurangkan lemak dalam darah dan 6 gram minyak ikan setiap hari meningkatkan HDL.

    Kajian daripada Shrestha dan rakan-rakan (2006) telah mengesyorkan pengambilan psyllium iaitu sejenis serat boleh larut sebagai makanan tambahan.

    Kajian tersebut mendapati pengambilan psyllium sebanyak 8 gram setiap hari, berjaya menurunkan jumlah kolesterol serta LDL sehingga 10%.

    Kajian lain pula mendapati pengambilan 5 gram psyllium dua kali sehari mampu menurunkan jumlah kolesterol sebanyak 5% selepas 20 minggu.

    Coenzyme Q10 adalah bahan kimia semula jadi yang boleh dihasilkan oleh tubuh untuk menghasilkan tenaga.

    Walaupun tiada kekurangan Coenzyme Q10 dalam tubuh, pengambilan sebagai makanan tambahan didapati bermanfaat untuk menurunkan kolesterol.

    Pengambilan makanan tambahan ini mengikut saranan dos adalah tidak berbahaya, namun kajian demi kajian masih lagi sedang dijalankan bagi mendapatkan bukti kukuh proses yang berlaku dalam tubuh.

    Kesimpulan

    Tiada jalan pintas untuk menurunkan kolesterol tubuh dan kekal sihat, justeru anda perlu mulakan gaya hidup sihat.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Ditulis oleh

    Prof Madya Dr Norsham Juliana Nordin

    Kardiologi · Hello Health Group


    Disemak pada 6 hari lalu

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan