backup og meta

Rawat Batuk Dengan Air Sarsi, Benarkah Ia Boleh Membantu Atau Mitos Mengarut?

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 16/11/2023

    Rawat Batuk Dengan Air Sarsi, Benarkah Ia Boleh Membantu Atau Mitos Mengarut?

    Ramai orang mungkin tidak begitu gemar untuk ambil ubat batuk daripada klinik atau farmasi bukan? Jadi, wujudkah ubat batuk tradisional yang anda boleh dapat dan ambil di rumah sahaja?

    Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan Pernafasan, anda boleh klik di sini.

    Kenapa orang tidak suka makan ubat?

    Sudah lumrah apabila jatuh sakit, kebanyakan orang dewasa tentu sahaja kurang gemar untuk mengambil ubatan atau rawatan klinikal. Ya, ia sudah menjadi satu norma yang tidak wajar diteruskan.

    Alasannya, mereka mungkin tidak suka dengan rasa atau tekstur ubat daripada doktor selain merasakan bahawa sakit tersebut bakal hadir dan pergi dengan sendiri tanpa melakukan apa-apa ikhtiar.

    Dalam kes batuk teruk, halnya juga sama. Pengambilan ubatan hanya akan dilakukan apabila sudah tiada pilihan lain!

    Namun, mereka punya alasan yang agak kukuh. Ini kerana ubat batuk lazimnya akan menyebabkan individu merasa sangat mengantuk sekali gus membantutkan segala aktiviti harian mereka!

    ubat batuk tradisional

    Untuk pengetahuan anda semua, kebanyakan ubatan untuk merawat kondisi biasa termasuk batuk terkandung bahan Dihydrocodeine yang memberi kesan mengantuk dan terasa mahu rehat dan tidur.

    Contoh ubat batuk tradisional anda boleh cuba!

    Disebabkan ingin terus cergas untuk melakukan aktiviti harian seperti belajar atau bekerja, ramai yang mula mencari ubatan cara kampung atau tradisional. Wujudkah bahan yang baik untuk batuk?

    Walaupun anda sangat dinasihatkan untuk berjumpa dan berkonsultasi dengan doktor, namun adalah tidak salah juga untuk petua-petua orang lama ini digunakan bagi membantu merawat kondisi batuk.

    Tidak perlu khuatir, berikut beberapa contoh ubat batuk tradisional yang anda boleh cuba jika ada masalah batuk:

    • Air kosong
    • Aiskrim vanila
    • Air garam
    • Air halia
    • Air kunyit
    • Air kayu manis
    • Air limau nipis
    • Asam jawa
    • Madu asli
    • Sup ayam
    • Yogurt

    ubat batuk tradisional

    Seperti ramai sudah sedia maklum, pengambilan lozeng juga sangat bagus bagi membantu mengurangkan kahak dan melegakan sakit pada tekak gara-gara batuk yang berpanjangan dan berterusan.

    Sebagai ‘lozeng’ tradisional, anda boleh memasukkan daun pudina ke dalam air minuman kerana ia mengandungi efek mentol atau sejuk lalu menyegarkan kawasan tekak yang telah lama tersiksa.

    Air sarsi, ubat batuk tradisional yang berkesan?

    Terbaharu, telah tular satu video di TikTok yang mendakwa minum air sarsi boleh membantu merawat kondisi batuk!

    Di dalam video tersebut, dikatakan bahawa air sarsi itu perlu direbuskan terlebih dahulu di atas api sehingga ia mula mendidih dan menggelegak sebelum diminum sebagai minuman seperti biasa.

    Buat anda yang belum tahu, air sarsi atau sarsaparilla itu diperbuat daripada sejenis akar Smilax ornata atau Smilax officinalis sebagai air minuman bergas dan amat popular di rantau Asia.

    Jika dilihat dari sudut logik, memang benar akar ini memiliki sifat antioksidan, antiradang dan antimikrob. Ia bagus untuk tubuh badan manusia jika dimakan atau diminum secara semula jadi.

    Persoalannya, adakah benar air sarsi dengan suhu suam itu mampu membantu merawat batuk atau hanya satu mitos?

    Apa pendapat pakar tentang petua ini?

    ubat batuk tradisional

    Sehingga kini, masih belum ada kajian saintifik yang menyatakan dan membuktikan bahawa air sarsi memang benar dapat membantu merawat masalah batuk jika diambil sebagai minuman atau ubatan.

    Menurut pandangan pempengaruh kesihatan popular media sosial yang dikenali dengan nama drwanshare, petua ini amat menarik tetapi masih memerlukan kajian lanjutan untuk benar-benar lebih pasti.

    Ini kerana, mungkin benar ramuan utama di dalam minuman itu mampu memberikan kesan baik kepada tekak yang mengalami masalah. Namun bagaimana pula dengan kandungan bahan yang lain?

    Selain itu, katanya, individu mungkin tidak perlu risau untuk mencuba kerana pengambilan air ini sebagai ubatan atau minuman biasa tidak wujud kesan sampingan yang harus kalian bimbangkan.

    Konklusinya, pengambilan air sarsi suam mungkin boleh jadi salah satu ubat batuk tradisional. Untuk lebih pasti, sila dapatkan maklumat dan nasihat daripada doktor terlebih dahulu!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 16/11/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan