backup og meta

Buat Projek DIY Di Rumah, Sebelum Guna Syelek Kayu, Ambil Tahu 5 Peraturan Ini Dulu!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 20/04/2023

    Buat Projek DIY Di Rumah, Sebelum Guna Syelek Kayu, Ambil Tahu 5 Peraturan Ini Dulu!

    Syelek kayu merupakan sejenis bahan kimia yang digunakan ke atas kayu untuk tujuan kemasan. Anda ingin ‘menghidupkan’ semula perabot lama yang sudah buruk dan dimamah usia? Salah satu fungsi syelek adalah untuk membuatkan perabot ini kembali cantik dan nampak baharu.

    Malah, untuk mereka yang suka melakukan projek DIY di rumah, syelek merupakan antara bahan wajib yang pasti digunakan. Malah, fungsi syelek bukan sahaja untuk mencantikkan perabot, ia juga dapat menambah lapisan perlindungan untuk pastikannya tahan lebih lama.

    Tetapi, jika rumah anda sempit atau anda tidak mempunyai laman, anda perlu lebih berhati-hati semasa menggunakan syelek. Wasap yang dihasilkan oleh syelek boleh mendatangkan bahaya, terutamanya kepada anak kecil.

    Namun, itu tidak bermaksud anda tidak boleh kekal selamat ketika menggunakan syelek. Sebenarnya, ada beberapa langkah keselamatan yang boleh dilakukan untuk mengelakkan sebarang masalah kesihatan.

    Ingin tahu lebih lanjut? Jom ikuti kupasan kami dalam artikel di bawah.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kesihatan Pernafasan, anda boleh klik di sini.

    Syelek kayu dan kesan wasapnya terhadap kesihatan

    syelek kayu

    Syelek mengandungi pelbagai bahan berbahaya seperti petroleum, alkohol, formaldehid, natrium hidroksida dan glikol eter. Semua bahan ini boleh memberikan kesan negatif kepada badan disebabkan ketoksikannya.

    Malah, bahan-bahan ini juga boleh membentuk wasap yang berbahaya. Baunya juga boleh kekal sehingga berminggu-minggu lamanya.

    Kedengaran menakutkan bukan? Jangan risau, jika anda menggunakan syelek di kawasan terbuka dengan ventilasi yang bagus, tidak ada apa yang perlu dirisaukan. Namun, jika anda tertelan atau syelek termasuk ke dalam mata, pastikan anda berjumpa doktor secepat mungkin!

    Ventilasi yang baik dapat mengurangkan konsentrasi wasap dan membuatkan syelek lebih selamat untuk digunakan.

    Secara amnya, syelek hanya berbahaya jika pada waktu aplikasi. Apabila ia telah kering, ia tidak lagi toksik terhadap kesihatan! Ini bermaksud, anda tidak perlu risau mengenai keselamatan perabot di rumah anda jika anda pernah sapukan syelek padanya.

    Perkara yang perlu dilakukan untuk pastikan syelek selamat

    Tidak dinafikan, ada banyak fungsi syelek. Sebab itulah ia menjadi pilihan sebagai kemasan.

    Ada beberapa langkah yang boleh diambil jika anda ingin kekal selamat semasa menggunakan syelek kayu:

    1. Periksa label syelek kayu sebelum beli

    Pastikan jenama syelek yang dibeli selamat untuk digunakan dan mendapat pengesahan daripada badan berwajib. Jika boleh, pilih syelek yang berasaskan air, tidak mengandungi pelarut beralkohol atau bahan-bahan berbahaya seperti logam berat dan eter glikol.

    2. Lindungi diri anda

    syelek kayu

    Syelek bukan hanya akan melekat pada permukaan perabot, malah ia juga akan melekat pada tangan anda! Oleh sebab itu, pakai sarung tangan getah, baju lama dan kaca mata keselamatan (safety goggles) untuk mengelakkan diri daripada sebarang bahaya.

    Malah, syelek juga boleh menyebabkan tindak balas alahan terhadap sesetengah individu. Pastikan anda lebih berhati-hati dan elakkan terkena kesan syelek pada kawasan tangan atau kaki.

    3. Jauhkan syelek kayu daripada sumber api

    Syelek amat mudah terbakar. Malah, asap yang terhasil daripada proses pembakaran ini juga sangat berbahaya terhadap kesihatan anda.

    Jadi, pastikan anda lakukan semua projek DIY di luar rumah. Jangan sesekali berada dekat dengan sumber api. Jika anda merokok, jangan duduk hampir dengan perabot yang baru disapukan syelek. Jika anda tidak berhati-hati, habislah projek DIY anda disambar api!

    4. Ventilasi, ventilasi, ventilasi!

    Ya, ventilasi sangat penting semasa menggunakan syelek. Jika boleh, cat perabot di luar rumah. Kalau anda terpaksa lakukannya di dalam, buka tingkap dan pasang kipas untuk pastikan bilik mempunyai pengudaraan yang baik.

    Berhenti menggunakan syelek jika anda rasa pening kepala atau ingin pitam. Pastikan anda minta ahli keluarga untuk bawa anda ke klinik secepat mungkin.

    Baca juga:

    5. Buang kain buruk dengan selamat

    syelek kayu

    Ramai yang lupa bahawa kain buruk yang digunakan untuk mengelap syelek juga boleh mendatangkan bahaya. Kain buruk ini mudah terbakar dan mungkin beracun untuk haiwan yang berkeliaran di sekitar rumah.

    Oleh sebab itu, rendam kain buruk dalam baldi sebelum buang. Ini akan mengurangkan risiko kebakaran. Kemudian, asingkan kain buruk yang digunakan untuk mengelap syelek daripada sampah lain. Buang dengan betul dan jangan sesekali biarkan kain tersebut terbiar di sekeliling rumah.

    Dengan langkah keselamatan yang betul, sesiapa sahaja boleh menggunakan syelek dengan selamat. Pastikan anda ikut semua tip kami di atas untuk pastikan diri anda dan keluarga tidak terdedah dengan bahaya syelek kayu.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 20/04/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan