backup og meta

Nafas Berbunyi Wisel Sebab Kahak Tebal? Ini 8 Punca Sebenar Yang Anda Tak Sedar!

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 12/12/2023

    Nafas Berbunyi Wisel Sebab Kahak Tebal? Ini 8 Punca Sebenar Yang Anda Tak Sedar!

    Pernahkah anda mengalami situasi di mana nafas berbunyi wisel? Ada kalanya ia mungkin disebabkan mukus atau kahak yang terlalu banyak dalam saluran pernafasan kita. Namun, ada juga punca-punca lebih serius lain yang menyebabkan nafas bunyi wisel. Baca penerangan kami di bawah ini.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kesihatan Pernafasan, anda boleh klik di sini.

    7 punca nafas berbunyi wisel

    Nafas berbunyi atau wheezing adalah keadaan di mana keluarnya bunyi berdesing atau seperti wisel ketika anda bernafas.

    Ia biasanya disebabkan oleh saluran pernafasan yang sempit atau terhalang. Keadaan ini adalah simptom yang biasa bagi banyak kondisi atau gangguan pernafasan.

    Berikut adalah tujuh punca biasa nafas mengeluarkan bunyi seperti wisel.

    #1. Semput atau asma

    Asma adalah keadaan kronik yang menyebabkan saluran udara pada paru-paru menjadi bengkak dan sempit.

    Ini boleh menyebabkan nafas mengeluarkan bunyi, sesak nafas, batuk dan dada yang terasa ketat.

    Asma boleh dipicu oleh pelbagai faktor termasuklah alergen seperti debu dan bulu haiwan, udara sejuk, senaman, dan stres.

    Individu yang menghidap asma mungkin akan mengalami serangan asma, yang mana keadaan ini akan menyebabkan kesukaran untuk bernafas.

    #2. Bronkitis

    Bronkitis merupakan situasi di mana terdapatnya bengkak atau radang pada bronkus.

    Bronkus adalah saluran utama yang membawa udara ke paru-paru. Ini boleh menyebabkan nafas berbunyi, batuk berlendir, keletihan, dan sesak nafas.

    nafas berbunyi

    Bronkitis biasanya disebabkan oleh virus dan boleh berlaku selepas seseorang itu mengalami selesema atau demam.

    Bronkitis kronik, sejenis bronkitis yang berterusan selama beberapa bulan pula biasanya disebabkan oleh tabiat merokok yang berpanjangan. 

    #3. Emfisema

    Emfisema pula adalah jenis penyakit paru-paru obstruktif kronik yang melibatkan kerosakan pada alveoli, iaitu kantung udara kecil pada paru-paru.

    Ini boleh menyebabkan sesak nafas, batuk kronik dan nafas yang berbunyi.

    Emfisema biasanya disebabkan oleh tabiat merokok atau pendedahan jangka panjang kepada iritasi lain seperti debu atau bahan kimia.

    Keadaan ini boleh mengurangkan jumlah oksigen yang sampai ke darah, menyebabkan kesukaran untuk anda bernafas.

    #4. Alergi atau alahan

    nafas berbunyi

    Alergi atau biasanya disebut alahan, terjadi apabila reaksi alergi menyebabkan saluran udara menjadi bengkak dan sempit.

    Ramai yang tidak tahu bahawa alahan turut boleh mengakibatkan pernafasan anda menghasilkan bunyi.

    Alergen umum termasuklah debu, bulu haiwan dan juga habuk.

    Reaksi alergi boleh mempengaruhi saluran pernafasan, mata, hidung dan kulit.

    Gejala lain alergi yang boleh disedari ialah seperti mata dan hidung berair, gatal serta ruam pada kulit.

    #5. Refluks asid

    Refluks asid, atau GERD, adalah keadaan di mana asid dari perut naik ke bahagian tekak atau kerongkong.

    Ini boleh mengakibatkan sakit dada, nafas berbunyi wisel dan batuk.

    Refluks asid boleh menyebabkan keradangan serta luka pada lapisan kerongkong, yang kemudiannya mengakibatkan sakit dada dan kesukaran ketika menelan makanan. 

    #6. Pneumonia

    Pneumonia adalah jangkitan yang menyebabkan keradangan pada satu atau kedua-dua belah paru-paru.

    Jangkitan ini boleh menyebabkan anda mengalami demam, rasa menggigil, nafas berbunyi wisel serta batuk yang menghasilkan lendir.

    Pneumonia berpunca daripada pelbagai jenis mikroorganisma termasuklah bakteria, virus dan kulat.

    Jangkitan pneumonia boleh berlaku pada individu daripada semua peringkat umur.

    Namun ia lebih berisiko menjangkiti kanak-kanak yang masih kecil, orang tua dan mereka yang mempunyai sistem imun lemah atau keadaan kesihatan asas yang serius.

    Gejala pneumonia boleh bersifat ringan hingga serius, bergantung kepada jenis pneumonia, umur dan tahap kesihatan seseorang.

    #7. Penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD)

    nafas berbunyi

    COPD adalah istilah umum yang digunakan untuk menerangkan beberapa penyakit paru-paru termasuk emfisema dan bronkitis kronik.

    COPD boleh menyebabkan sesak nafas, batuk, keletihan dan juga nafas yang mengeluarkan bunyi seperti wisel.

    Penyakit ini biasanya berlaku akibat tabiat merokok. Namun ia juga boleh disebabkan oleh pendedahan jangka panjang kepada pencemar udara lain seperti habuk industri atau asap kayu.

    COPD boleh memburukkan kualiti hidup seseorang dan boleh menyebabkan komplikasi kesihatan yang serius seperti kegagalan pernafasan.

    Walaupun COPD adalah keadaan yang tidak dapat disembuhkan, namun rawatan boleh membantu mengurangkan gejala dan memperbaiki kualiti hidup anda.

    Kesimpulan

    Kini anda telah tahu 7 punca serius lain yang boleh menyebabkan nafas mengeluarkan bunyi.

    Jadi, jika nafas anda berbunyi seperti wisel dan disertai beberapa gejala lain, segeralah berjumpa dengan doktor untuk membuat pemeriksaan. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 12/12/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan