backup og meta

Perlu Jalani Pembedahan & Menghidap Lelah? Ini Perkara Perlu Anda Ambil Tahu Sebelum Prosedur Berlangsung

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nur Es Naini · Disemak pada 15/02/2023

    Perlu Jalani Pembedahan & Menghidap Lelah? Ini Perkara Perlu Anda Ambil Tahu Sebelum Prosedur Berlangsung

    Penghidap penyakit lelah atau asma yang bakal menjalani prosedur pembedahan perlukan pemerhatian lebih teliti sebelum dibenarkan berbuat demikian.

    Ini kerana risiko pembedahan menjadi berganda jika pesakit mempunyai sejarah penyakit asma yang tidak terkawal.

    Serangan asma masih boleh berlaku sebelum, ketika dan selepas pembedahan dijalankan.

    Adakah anda atau sesiapa yang anda kenali menghidap asma dan perlu menjalani prosedur pembedahan?

    Tidak perlu risau lagi. Semua persoalan anda akan terjawab selepas membaca artikel ini!

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Pernafasan, sila dapatkannya di sini.

    Sepintas lalu tentang penyakit lelah atau asma

    Asma atau bahasa mudahnya lelah, merupakan penyakit kronik paru-paru yang disebabkan oleh keradangan salur udara dan tindak balas keterlaluan salur pernafasan, menyebabkan penghasilan mukus (lendir) yang banyak.

    Gejala asma adalah seperti dada ketat, sukar bernafas, nafas berbunyi berdehit dan batuk. Ini kerana salur udara menjadi sempit dan terhalang oleh mukus yang berlebihan.

    Antara penyebab serangan asma adalah cuaca yang sejuk, jangkitan virus atau bakteria pada salur pernafasan, alahan, senaman atau aktiviti yang berat serta faktor persekitaran seperti habuk, asap dan sebagainya.

    Penghidap asma selalunya dibekalkan dengan inhaler atau penyedut asma.

    Terdapat dua jenis inhaler iaitu jenis penyelamat yang digunakan ketika serangan asma dan satu lagi jenis pengawal untuk mencegah episod asma.

    penyakit lelah

    Bagi mengetahui kawalan asma seseorang, mereka selalunya dibekalkan dengan Diari Asma yang mengandungi pelan tindakan kawalan asma.

    Pelan ini termasuk rekod kekerapan serangan dalam seminggu, senarai alergen atau punca serangan asma yang dikenal pasti, nama ubat-ubatan termasuk inhaler yang digunakan dan sejarah perubatan lain.

    Malahan lawatan ke klinik atau hospital bagi rawatan susulan juga disertakan dalam diari ini.

    Penghidap lelah, ini persediaan menghadapi prosedur pembedahan!

    Selalunya doktor yang merawat anda akan memastikan kawalan penyakit lelah memuaskan sebelum merujuk kepada pakar bius.

    Jika tidak, ada beberapa langkah yang akan diambil untuk mengoptimumkan kawalan asma seseorang pesakit.

    1. Menilai fungsi paru-paru penghidap penyakit lelah
    • Membuat ujian spirometri atau ujian fungsi paru-paru iaitu sebuah ujian yang dijalankan untuk menilai keupayaan paru-paru anda
    • Ia mengukur isipadu dan kelajuan udara semasa menarik dan menghembus nafas
    • Anda hanya perlu bernafas pada mesin khas yang disediakan

    penyakit lelah

    1. Sinar X dada juga diperlukan untuk memastikan paru-paru dalam keadaan baik
    • X-ray dada dapat melihat struktur paru-paru dan organ di sekitarnya seperti jantung, salur udara dan tulang belakang
    • Sebarang keabnormalan pada x-ray dada mungkin berisiko mendatangkan komplikasi ketika pembedahan
    1. Sejarah perubatan yang lebih lanjut
    • Kawalan asma yang baik adalah serangan asma kurang 3 kali seminggu, tiada batuk di waktu malam atau apabila melakukan aktiviti senaman, tiada sejarah kemasukan ke wad atau ICU
    • Cara pemakaian inhaler yang betul dan memastikan inhaler berfungsi seperti yang sepatutnya
    • Sejarah alahan terutamanya kepada ubat tertentu

    Sekiranya didapati anda mempunya kawalan penyakit asma yang tidak memuaskan, doktor akan memberi ubat yang lebih baik dan berkesan bagi memastikan anda tidak mendapat serangan asma ketika pembedahan.

    Baca juga: 

    Persiapan ketika di bilik pembedahan

    Setelah pasti kawalan asma lebih baik, beberapa langkah juga diambil oleh pakar bius bagi memastikan keselamatan pesakit sepanjang prosedur pembedahan dilakukan.

    Ini termasuk memerhatikan paras oksigen dalam darah.

    Penggunaan tiub pernafasan dan ubat bius menyebabkan pesakit tidak mempamerkan gejala tipikal serangan asma seperti wheezing, sesak dada atau susah bernafas.

    Ini hanya boleh diperhatikan dan dikesan melalui mesin dalam bilik pembedahan.

    Risiko boleh berlaku jika alami penyakit lelah ketika prosedur pembedahan

    Bagi penghidap asma, risiko berikut adalah lebih tinggi untuk berlaku ketika menjalani pembedahan.

    1. Bronchospasm- Salur udara menyempit tiba-tiba kerana stres atau kesan ubat bius.
    2. Susah memasukkan tiub pernafasan (trachea intubation)- Ini kerana salur pernafasan yang sempit atau sangat berlendir boleh mengakibatkan trauma.
    3. Atelektasis- Paru-paru tidak dapat berkembang dengan sempurna.
    4. Pneumonia- Jangkitan paru-paru

    Bagaimana untuk mencegah komplikasi pembedahan ini?

    Penghidap akan diingatkan untuk meneruskan pengambilan ubat lelah, iaitu inhaler dan ubat yang digunakan untuk mengawal penyakit asma sepanjang masa sehingga hari pembedahan.

    Teknik penggunaan yang betul juga penting untuk mencapai tujuan ini.

    penyakit lelah

    Sila ikut nasihat doktor dalam persediaan diri menghampiri tarikh pembedahan.

    Kekalkan pengambilan ubat dan elakkan aktiviti yang boleh menyebabkan serangan asma. Bagi mereka yang mempunyai sejarah alahan, tolong berhati-hati terhadap apa jua alergen anda dan jauhinya.

    Selain itu, penghidap pesakit lelah yang bakal menjalani prosedur pembedahan disarankan untuk mengambil suntikan vaksin pneumococcal dan influenza sekurang-kurangnya sebulan sebelum pembedahan.

    Tujuannya adalah untuk mencegah risiko jangkitan paru-paru yang serius.

    Doktor akan memberi ubat-ubatan berkaitan yang dapat mengawal daripada serangan asma ketika pembedahan.

    Selepas pembedahan, jurufisio akan melatih paru-paru anda semula dengan mengajar teknik yang betul menggunakan spirometer insentif. Ini adalah untuk menguatkan paru-paru anda.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nur Es Naini · Disemak pada 15/02/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan