backup og meta

Ubat Batuk Farmasi Mengandungi Pholcodine Ditarik Balik. Parents, Jaga-Jaga Sebelum Beli!

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 24/03/2023

    Ubat Batuk Farmasi Mengandungi Pholcodine Ditarik Balik. Parents, Jaga-Jaga Sebelum Beli!

    Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) telah membatalkan pendaftaran dan mengeluarkan arahan panggil balik ke atas semua ubat batuk farmasi atau sebarang produk berdaftar yang mengandungi pholcodine.

    Pholcodine merupakan sejenis ubat opiod yang dapat mengawal dan menghentikan batuk kering dalam kalangan orang dewasa dan kanak-kanak.

    Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, terdapat risiko terjadinya anafilaksis dengan penggunaan ubat pengendur otot atau neuromuscular blocking agents (NMBAs) semasa proses pembiusan umum.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kesihatan, anda boleh klik di sini.

    Ubat batuk farmasi ini boleh didapati tanpa preskripsi

    ubat batuk kering

    Dr. Noor Hisham berkata, di Malaysia, pholcodine diklasifikasikan sebagai ubat terkawal Kumpulan C dan boleh diperolehi tanpa preskripsi.

    Setakat ini, Pusat Pemonitoran Kesan Advers Ubat Kebangsaan, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) menerima sejumlah 12 laporan dengan 17 kesan advers susulan penggunaan pholcodine, namun tiada laporan anafilaksis diterima.

    “Walaupun tiada laporan kesan serius diterima NPRA setakat ini, keputusan PBKD ini diambil berdasarkan bukti-bukti daripada kajian Allergy to Neuromuscular Blocking Agents and Pholcodine Exposure (ALPHO).”

    Individu yang paling terkesan ialah mereka yang pernah mengambil ubat yang mengandungi pholcodine dalam tempoh 12 bulan lalu.

    “Dengan erti kata lain, mereka yang mengambil ubat yang mengandungi pholcodine (kebiasaannya ubat batuk) dalam tempoh 12 bulan lalu berhadapan risiko lebih tinggi untuk mengalami anafilaksis.”

    “Ini sekiranya diberi ubat pengendur otot atau neuromuscular blocking agents (NMBAs) semasa proses pembiusan penuh, misalnya semasa menjalani pembedahan,” kata Dr. Noor Hisham lagi.

    Baca juga:

    Apakah maksud ubat batuk farmasi Pholcodine?

    Pholcodine digunakan untuk merawat batuk kering. Ubat ini akan memasuki otak dan mengurangkan batuk dengan cara menyekat signal dari saraf yang dihantar oleh otot ketika batuk.

    Pholcodine ini telah digunakan untuk merawat batuk sejak 1950-an lagi. Ubat ini selalunya dicampur dengan pelbagai bahan lain dan boleh didapati dalam bentuk sirap, lozeng, larutan oral dan kapsul.

    Apa pula maksud anafilaksis?

    Anafilaksis merupakan satu reaksi alahan yang sangat serius dan boleh mengancam nyawa. Ia boleh berlaku dalam masa beberapa minit atau saat selepas anda terdedah dengan sesuatu bahan yang boleh menyebabkan alahan, seperti kacang, debunga atau sengatan lebah.

    Anafilaksis menyebabkan sistem imun badan merembeskan sejenis bahan kimia yang boleh menyebabkan badan mengalami kejutan. Antara simptom anafilaksis ialah nadi yang laju tetapi lemah, ruam pada kulit, loya dan muntah-muntah.

    Sekiranya anda mengalami anafilaksis, anda perlu mengambil suntikan epinefrin secepat mungkin.

    Mengapakah ubat batuk farmasi yang mengandungi pholcodine ditarik balik?

    Antara kesan sampingan pholcodine yang paling lazim ialah pening kepala, loya dan kesan sedatif.

    Walau bagaimanapun, punca utama penarikan produk yang mengandungi pholcodine adalah kemampuannya untuk menyebabkan anafilaksis ketika pembedahan am.

    Ubat yang mengandungi pholcodine boleh menyebabkan anafilaksis sekiranya digunakan bersama sejenis pengendur otot yang diberikan ketika pembedahan, juga dikenali sebagai agen penyekat neuromuskular.

    Agen penyekat ini biasanya digunakan sebagai sebahagian anestesia am semasa pembedahan.

    Nasihat untuk pengguna

    ubat batuk kering
    Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

    Orang ramai yang baharu sahaja membeli ubat batuk farmasi yang mengandungi pholcodine dinasihatkan untuk:

    1. Memulangkan ubat tersebut ke farmasi berdekatan.
    2. Jika anda mengambil ubat batuk, periksa label untuk mengetahui sama ada ia mengandungi pholcodine ataupun tidak. Jika ya, berhenti daripada mengambil ubat tersebut dan dapatkan rawatan alternatif daripada pakar.
    3. Sekiranya anda perlu melalui pembedahan, beritahu pakar sekiranya anda pernah mengambil sebarang ubat yang mengandungi pholcodine, lebih-lebih lagi dalam masa 12 bulan ini.
    4. Jika pengguna tidak pasti sama ada ubat yang mereka ambil mengandungi pholcodine atau tidak, sila pergi ke farmasi terdekat atau hubungi mereka untuk maklumat lanjut. Dapatkan rekomendasi ubat lain sebagai alternatif untuk merawat batuk kering.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 24/03/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan