backup og meta

Ini Sebab Mengapa Wanita Perlu Lakukan Ujian PH Miss V, Boleh Buat Sendiri Di Rumah

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 11/06/2021

    Ini Sebab Mengapa Wanita Perlu Lakukan Ujian PH Miss V, Boleh Buat Sendiri Di Rumah

    Pernahkah anda mendengar mengenai ujian pH vagina? Bagi wanita, menguji pH vagina mungkin bukan sesuatu yang asing kerana ia dapat membantu mendiagnosis kondisi Bacterial Vaginosis (BV).

    Bukan itu sahaja, kadar pH vagina juga boleh menjadi kayu ukur kesihatan wanita tersebut secara amnya.

    Sebarang masalah pada kesihatan vagina boleh mempengaruhi kadar kesuburan, keinginan untuk melakukan seks dan keupayaan mereka untuk mencapai orgasme.

    Malah, wanita yang kerap mengalami masalah berkaitan Miss V mereka juga lebih berisiko untuk mengalami tekanan atau masalah hubungan yang boleh menjejaskan keyakinan diri.

    Menguji pH vagina merupakan satu ujian yang amat mudah untuk dilakukan. Malah, ujian ini juga boleh dilakukan sendiri di rumah.

    Nak tahu lebih lanjut tentang ujian pH vagina? Jom, baca perkongsian kami dalam artikel di bawah.

    Uji pH vagina? Bagaimanakah caranya?

    ph vagina

    Jika anda ingin melakukan ujian pH vagina, anda boleh menggunakan jalur pH yang boleh didapati di farmasi berdekatan. 

    Jalur ini datang bersama satu carta warna yang boleh membantu anda untuk menentukan pH vagina selepas ujian.

    Ujian ini amat berguna jika anda ingin menilai sama ada simptom yang anda alami seperti gatal-gatal, pedih, bau yang tidak menyenangkan dan cecair yang luar biasa adalah berpunca daripada jangkitan yang memerlukan perhatian doktor.

    Namun, ujian ini tidak sesuai dilakukan untuk penyakit seperti HIV, klamidia, herpes, gonorea, sifilis atau streptococcus kumpulan B. 

    Untuk melakukan ujian ini, ambil satu jalur pH tersebut dan letakkannya pada dinding vagina untuk beberapa saat. Kemudian, bandingkan warna yang terdapat pada jalur tersebut dengan carta warna yang diberikan.

    Vagina yang normal mempunyai pH sekitar 3.5-4.5, iaitu sedikit berasid. Jika bacaan pH lebih tinggi daripada 4.5, flora semula jadi pada kawasan vagina mungkin telah terjejas dan ini mungkin salah satu tanda BV.

    Walau bagaimanapun, ujian kendiri di rumah ini mungkin tidak setepat pemeriksaan yang dilakukan oleh doktor yang bertauliah.

    Jika anda runsing mengenai kesihatan vagina, anda boleh melakukan janji temu bersama doktor untuk menguji kesihatan Miss V anda. 

    Malah, doktor juga mungkin akan melakukan ujian yang lebih menyeluruh untuk menguji kesihatan vagina anda.

    Berapakah pH sebenar vagina?

    Untuk pengetahuan anda, vagina wanita sepatutnya mempunyai pH di antara 3.5 hingga 4.5.

    Walau bagaimanapun, pH yang ‘normal’ mungkin berbeza mengikut wanita. Selain itu, wanita yang sudah mengalami menopaus juga boleh mengalami pH yang berbeza.

    Miss V yang mempunyai pH tidak normal selalunya akan mula menunjukkan simptom-simptom seperti gatal-gatal dan pengeluaran cecair yang tidak normal.

    punca faraj gatal

    Jika ada sesuatu yang abnormal berlaku pada vagina anda, besar kemungkinan ia disebabkan ketidakseimbangan pH.

    Adakah ujian ini meyakinkan?

    Ujian pH di rumah boleh membantu anda untuk mengetahui sama ada anda menghidap jangkitan ataupun tidak. 

    Malah, jalur pH yang digunakan oleh doktor juga serupa dengan jalur pH yang anda digunakan di rumah.

    Walau bagaimanapun, ujian ini bukanlah pengganti janji temu anda bersama doktor. Kadangkala, jangkitan vagina boleh berlaku tanpa sebarang simptom atau perubahan pada pH Miss V anda.

    ph vagina

    Kekalkan keseimbangan pH Miss V anda

    BV merupakan jangkitan vagina yang paling lazim berlaku kepada wanita.

    Penyakit ini tidak boleh disebarkan secara seksual, namun wanita yang mempunyai lebih daripada 1 pasangan seksual lebih berisiko untuk mengalami BV.

    Disebabkan BV merupakan sejenis jangkitan alat kelamin wanita, lelaki tidak akan dijangkiti penyakit ini.

    Walau bagaimanapun, bukan BV sahaja yang boleh menyebabkan pH Miss V wanita jadi tidak normal.

    Amalan seperti meruang atau menggunakan produk pewangi seperti deodoran pada kawasan intim juga boleh menyebabkan ketidakseimbangan pH berlaku.

    Sebagai permulaan, anda boleh mengamalkan pengambilan probiotik sebagai cara yang mudah dan cepat untuk memperbaiki pH normal Miss V anda. 

    Probiotik amat berguna untuk meningkatkan jumlah bakteria baik pada kawasan vagina wanita.

    Selain itu, perubahan dalam diet juga dapat membantu wanita untuk mengekalkan flora vagina semula jadi mereka. 

    Sebagai contoh, cuba makan yogurt sekali sehari untuk mendapatkan kuota vitamin D dan kalsium yang mencukupi untuk mengekalkan kesihatan vagina anda.

    Kesimpulan

    Ujian pH amat berguna untuk menentukan sama ada simptom yang anda alami adalah disebabkan oleh jangkitan ataupun tidak. 

    Malah, disebabkan ujian ini mudah dilakukan, wanita dapat melakukannya sendiri dengan selesa di rumah masing-masing.

    Walau bagaimanapun, ujian ini bukan pengganti pemeriksaan doktor. Kadangkala, anda boleh mengalami jangkitan walaupun pH Miss V anda normal.

    Jika anda mempunyai simptom yang berlarutan, jangan abaikannya dan terus berjumpa doktor secepat mungkin.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 11/06/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan