backup og meta

Ingin Besarkan Payudara Guna Pil Hormon Cina? Jangan Pandai-Pandai, Ini Bahayanya!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 16/03/2023

    Ingin Besarkan Payudara Guna Pil Hormon Cina? Jangan Pandai-Pandai, Ini Bahayanya!

    Pernahkah anda dengar mengenai pil hormon cina? Pil ini dijual secara berleluasa atas talian. Ia selalunya diambil oleh individu yang ingin menukar jantina dan juga untuk membesarkan payudara. Cara makan pil hormon cina ini juga mudah. Walau bagaimanapun, adakah pil ini selamat untuk diambil?

    Dalam artikel kali ini, kami akan terangkan sama ada pil hormon cina bahaya atau tidak.

    Pada masa yang sama, kami juga akan mengupas fungsi pil hormon dan kegunaan sebenarnya dalam perubatan.

    Jom, ikuti kupasan kami dalam artikel di bawah.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.

    Apakah maksud hormon?

    Hormon merupakan bahan kimia yang dihasilkan badan secara semula jadi. Hormon ini akan bergerak dalam darah dan digunakan oleh badan untuk mengawal aktiviti sel dan juga organ.

    Selain itu, hormon juga memainkan peranan penting untuk memupuk tumbesaran, fungsi seksual, reproduksi, mood dan juga proses penukaran makanan kepada tenaga.

    Untuk pengetahuan anda, hormon dihasilkan di dalam kelenjar. Antara kelenjar utama yang menghasilkan hormon ialah kelenjar tiroid, paratirois, adrenal, pankreas, ovari dan juga testikel. Semua kelenjar ini membentuk sistem endokrin badan manusia.

    Apa itu pil hormon cina?

    pil hormon cina

    Di negara kita, pil hormon perancang cina ini dijual untuk pelbagai tujuan, antaranya adalah untuk membesarkan payudara dan punggung.

    Selain itu, ia juga diambil oleh wanita yang menopaus sebagai terapi penggantian hormon (HRT).

    Pil hormon ini juga dikatakan dapat memutihkan kulit badan dan juga wajah.

    Untuk golongan transgender pula, mereka akan mengambil pil hormon ini untuk menukar jantina dan mendapatkan bentuk badan seperti seorang wanita.

    Walau bagaimanapun, mungkin ramai yang tidak tahu pil ini sebenarnya adalah pil perancang kecemasan. Jika diambil secara kerap, ia mungkin akan membawa mudarat terhadap kesihatan.

    Kebanyakan pil hormon yang dijual di pasaran secara atas talian tidak mempunyai pengesahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia. Jadi, sebelum anda beli ubat ini, fikirkan terlebih dahulu baik buruknya terhadap kesihatan anda.

    Ada juga kajian yang menunjukkan bahawa pil hormon jenis ini mengandungi bahan yang beracun dan tidak selamat kepada kesihatan, contohnya plumbum, kadmium dan arsenik yang berlebihan.

    Cara penyimpanan yang tidak betul juga menyebabkan ubat-ubatan ini mengandungi racun perosak atau bahan cemar dalam konsentrasi yang tinggi.

    Baca juga:

    Mengapa ada yang mengambil pil hormon cina?

    Selalunya, ubat ini dijual dengan testimoni yang tidak benar. Sebagai contoh, pil ini dikatakan dapat membesarkan payudara dan punggung dalam masa yang singkat.

    Namun, bukan wanita sahaja yang terkesan, kaum Adam juga sama! Ada yang sanggup mengambil pil hormon testosteron untuk membesarkan otot demi mendapatkan bentuk badan yang mereka inginkan.

    Sama jugalah dengan golongan transgender. Selalunya, mereka akan mengambil pil ini untuk menukar fizikal mereka kepada jantina yang diingini tanpa perlu berbelanja lebih.

    Jangan sesekali terpengaruh dengan sebarang iklan di media sosial mengenai pil hormon ini. Walaupun ia dapat memberikan perubahan yang drastik, ia membawa banyak bahaya kepada penggunanya.

    Kesan sampingan pengambilan pil hormon

    pil hormon cina

    Menurut portal MyHealth, ada beberapa bahaya pengambilan pil hormon tanpa pengawasan pakar.

    Antara kesan pengambilan hormon estrogen dalam jangka masa panjang:

    1. Kanser rahim, ovari dan payudara.
    2. Peningkatan risiko batu karang hempedu sebanyak 2-3 kali ganda.
    3. Pendarahan pada rahim.
    4. Embolisme paru-paru.
    5. Darah tinggi.
    6. Kencing manis.
    7. Endometriosis. 
    8. Pertumbuhan fibroid.
    9. Payudara bengkak.

    Ubat hormon yang diberikan oleh doktor di hospital selalunya dalam bentuk kombinasi. Pakar juga akan memantau penggunaan ubat hormon ini untuk mengelakkan sebarang kesan sampingan yang tidak diingini.

    pil hormon cina

    Kesan pengambilan hormon testosteron pula ialah:

  • Buah dada membesar.
  • Rambut gugur.
  • Buah zakar mengecil.
  • Ketidaksuburan.
  • Suara menjadi kecil.
  • Selain itu, ada juga beberapa kesan sampingan lain seperti kulit berjerawat, gangguan psikologi, paras kolesterol meningkat dan banyak lagi.

    Selain itu, mereka yang mengambil pil testosteron juga boleh menjadi lebih agresif. Lebih menakutkan lagi, pil hormon ini boleh menyebabkan ketagihan!

    Oleh sebab itu, fikir-fikirlah terlebih dahulu sebelum beli sebarang produk secara atas talian. Walaupun cara makan pil hormon cina sangat mudah, namun kesan sampingannya tidak boleh diundur. Jangan menyesal di hari kemudian sudahlah…

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 16/03/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan