backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Anak Jatuh Terlentang? Ibu Ayah, Jangan Pandang Remeh! Awasi 18 Tanda BAHAYA Ini!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 09/02/2024

    Anak Jatuh Terlentang? Ibu Ayah, Jangan Pandang Remeh! Awasi 18 Tanda BAHAYA Ini!

    Semasa tahun-tahun awal kehidupan, ia boleh menjadi perkara biasa untuk berlaku hentakan kepala bayi kesan daripada terjatuh, tersadung, tergelincir atau sebarang pelanggaran.

    Sebagai ibu bapa, anda perlu mengenal pasti tanda bahaya anak jatuh terlentang yang boleh mengakibatkan berlakunya gegaran otak. 

    Dalam perkongsian artikel ini ada penjelasannya.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.

    Gegaran otak kesan hentakan kepala bayi

    Gegaran otak adalah kecederaan otak traumatik ringan (traumatic brain injury, TBI) yang disebabkan oleh trauma pada kepala akibat terjatuh, kemalangan kereta atau kecederaan sukan.

    Kecederaan jenis ini membimbangkan kerana ia menyebabkan otak mengalami kesukaran kognitif sementara dan boleh mengakibatkan hilang kesedaran.

    Bagi kanak-kanak kecil, gegaran otak boleh menjadi masalah utama kerana bayi atau kanak-kanak tidak dapat menggambarkan perasaan mereka. Ini bermakna ibu bapa perlu memantau dengan teliti sebarang gejala gegaran otak.

    Malangnya, adakala simptom gegaran tidak selalu berlaku secara serta-merta selepas terjatuh atau kemalangan. Ia mungkin berlaku selepas beberapa jam atau beberapa hari kemudian.

    hentakan kepala bayi

    Gejala umum bagi kanak-kanak dan dewasa adalah sama. Tetapi apabila ia berkaitan dengan bayi dan anak kecil masih belum mahir berkomunikasi, anda perlu mengenal pasti sebarang perbezaan dalam tingkah laku dan tanda gejala yang mungkin kelihatan.

    Sekiranya tidak pasti, lakukan pemeriksaan dengan pakar kanak-kanak (pediatrik) untuk mendapatkan kepastian. 

    Tanda bahaya anak jatuh terlentang

    Berikut antara beberapa simptom dan gejala yang boleh anda perhatikan pada anak, seperti:

    Tanda bayi mengalami gegaran otak 

    Bagi bayi, tanda-tanda gegaran otak mungkin termasuk:

    • Menangis apabila anda menggerakkan atau memusingkan kepala bayi
    • Meragam 
    • Perubahan mendadak dalam tabiat tidur bayi, seperti tidur lebih banyak atau kurang daripada biasa
    • Muntah tanpa sebab yang kukuh
    • Benjolan atau lebam di kepala

    Tanda gegaran otak pada kanak-kanak kecil

    Terdapat perbezaan antara hentakan kepala bayi dan kanak-kanak kecil. 

    Ini kerana kanak-kanak kecil mempunyai kognisi dan kemahiran lisan yang lebih baik. Anak mungkin boleh memberitahu simptom atau sekurang-kurangnya memberikan petunjuk bahawa mereka mengalami sesuatu yang luar pelik.

    • Sakit kepala
    • Loya atau muntah
    • Perubahan tingkah laku
    • Perubahan mendadak dalam tabiat tidur, sama ada lebih atau kurang
    • Menangis berlebihan tanpa sebab
    • Hilang minat bermain, makan atau melakukan aktiviti kegemaran mereka

    hentakan kepala bayi

    Tanda gegaran otak pada anak 2 tahun ke atas

    Kanak-kanak yang berumur lebih daripada 2 tahun selalunya boleh menyuarakan bahawa mereka mengalami gejala luar biasa atau memberitahu diri terjatuh dengan kuat.

    Tanda bahaya anak jatuh terlentang adalah: 

    • Pening atau ada masalah keseimbangan
    • Penglihatan berganda atau kabur
    • Kepekaan kepada cahaya dan bunyi
    • Mudah mengelamun
    • Sukar fokus dan mengingati peristiwa baru terjadi, kekeliruan
    • Perubahan mood – seperti cepat meragam, kebimbangan, kesedihan atau kegelisahan
    • Mengantuk, sukar tidur atau perubahan lain dalam corak tidur

    Pemeriksaan doktor jika berlaku hentakan kepala bayi

    Ibu bapa lazimnya memang akan berasa bimbang apabila anak terhentak kepala, tetapi bilakah anda perlu membawa mereka untuk pemeriksaan doktor atau menghantar ke bilik kecemasan?

    Perhatikan anak anda dengan teliti untuk simptom yang disenaraikan di atas. Jika si kecil terjaga, aktif dan kelihatan seperti biasa, anak anda mungkin tidak mengalami sebarang masalah.

    Jika anak anda menunjukkan tanda-tanda bahawa dia mungkin mengalami gegaran otak, dapatkan rawatan perubatan dengan segera. Ini amat penting jika anak:

    • Muntah-muntah 
    • Hilang kesedaran selama lebih dari 1-2 minit
    • Sukar untuk disedarkan 
    • Mempunyai sawan
    • Anak mata si kecil mengembang atau tidak simetri selepas kecederaan

    Jika tidak dirawat gegaran otak kesan hentakan kepala bayi? 

    Kecederaan hentakan kepala biasanya bersifat sementara dan akan sembuh sepenuhnya. Namun gegaran otak disebabkan hentakan teruk pada kepala boleh mengakibatkan ia kekal jika tidak dirawat.

    Tanpa rawatan, TBI berpotensi menyebabkan komplikasi jangka panjang seperti sakit kepala kronik, masalah ingatan dan vertigo.

    TBI juga boleh mengakibatkan Post-Concussion Syndrome yang menyebabkan sakit kepala, pening, perubahan mood dan kekeliruan otak pelik (peculiar type of brain fog) yang kadangkala berterusan selama berbulan-bulan selepas kejadian.

    hentakan kepala bayi

    Kaedah rawatan hentakan kepala bayi & kanak-kanak

    Biasanya pemeriksaan doktor akan dilakukan untuk menentukan terdapat trauma kepala ketara atau pendarahan dalam otak selepas kecederaan.

    Kebanyakan gegaran otak kecil hingga sederhana akan pulih dengan berehat dan mengurangkan aktiviti harian – walaupun ia mungkin mengambil masa sebulan atau lebih.

    Doktor mungkin melakukan ujian berkala untuk memantau keadaan anak.

    Semasa proses pemulihan, hadkan atau secara ideal, hentikan sepenuhnya masa skrin – televisyen, tablet, telefon pintar dan sebarang peranti.

    Kebanyakan ibu bapa ingin memastikan si kecil kekal terjaga selepas kecederaan. Namun sebenarnya, tiada masalah untuk membiarkan anak tidur sebentar. Tetapi sentiasa pantau tingkah laku dan aduan anak selepas bangun.

    Amat penting membiarkan anak tidur mengikut keperluan diri mereka. Ini kerana tidur adalah salah satu cara paling berkesan untuk otak sembuh.

    Kesimpulan 

    Normal untuk berlakunya kejadian hentakan kepala bayi semasa tempoh tumbesaran mereka. Biasanya mereka akan kembali aktif dan gembira dalam masa yang singkat.

    Tetapi jika terdapat sebarang kebimbangan atau keraguan mengenai keadaan si kecil, jangan berlengah untuk melakukan pemeriksaan dengan doktor pediatrik bagi mendapatkan lebih kepastian.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 09/02/2024

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan