backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Si Manja Alami Batuk Berkahak, Ibu Ayah Boleh Cuba 5 Petua Ini Di Rumah

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada seminggu lalu

    Si Manja Alami Batuk Berkahak, Ibu Ayah Boleh Cuba 5 Petua Ini Di Rumah

    Tidur si manja kerap terganggu kerana batuk? Kenapa batuk anak tak hilang? Kenapa selalu batuk kahak? Teruskan membaca perkongsian artikel ini untuk mengetahui cara menghilangkan batuk kahak bayi dengan cara semula jadi. 

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.

    Merawat batuk berkahak

    Antara rawatan dan cara menghilangkan batuk kahak bayi adalah bergantung kepada punca batuk berlaku. Kenapa selalu batuk kahak?

    Kebanyakan kes batuk pada si kecil adalah berpunca daripada virus. Dan biasanya keadaan ini akan pulih apabila jangkitan hilang.

    Punca batuk berkahak

    Kenapa selalu batuk kahak? Kenapa batuk anak tak hilang?

    Sebelum mengetahui cara hilangkan batuk berkahak budak, anda harus faham keadaan ini boleh menjadi gejala bagi masalah kesihatan lain.

    Berikut antara beberapa puncanya:

    • Selesema. Kebanyakan batuk adalah sebahagian daripada selesema yang melibatkan saluran pernafasan lebih rendah. Dalam istilah perubatan ia disebut bronkitis virus. Bronkus adalah bahagian bawah saluran udara yang berhubung dengan paru-paru. Bronkitis pada kanak-kanak biasanya disebabkan oleh virus seperti virus selesema, influenza dan kroup
    • Batuk pencemaran udara. Sebarang jenis asap boleh merengsakan saluran pernafasan dan menyebabkan batuk. Asap rokok dan ekzos kenderaan antara contoh paling biasa
    • Punca serius seperti pneumonia, bronchiolitis, batuk kokol dan objek asing tersekat pada saluran pernafasan
    • Alahan. Bayi juga boleh mengalami alahan makanan, bahan tertentu atau alahan bermusim. Gejala berbeza daripada selesema dan flu kerana ia dicetuskan oleh pendedahan kepada alergen
    • Asma. Virus adalah pencetus paling biasa episod asma pada bayi berumur 6 bulan ke bawah. Antara simptomnya adalah batuk berterusan dan mungkin disertai dengan berdehit dan kesukaran bernafas
    cara menghilangkan batuk kahak bayi
    Vacuum cleaner boleh jadi punca asma.

    Cara menghilangkan batuk kahak bayi secara semula jadi

    Terdapat beberapa pilihan rawatan semula jadi yang boleh dilakukan di rumah tanpa menggunakan ubat untuk dicuba ibu bapa, seperti:

    Pelembap udara 

    Pelembap membantu melonggarkan lendir, sekali gus merupakan antara cara hilangkan batuk berkahak budak. 

    Ini kerana ia melegakan batuk dan kesesakan pada saluran pernafasan. Kaedah ini membantu dengan menambahkan wap air ke udara untuk memudahkan anak bernafas.

    Pelembap udara sejuk disyorkan untuk kanak-kanak atas sebab keselamatan dan dianggap lebih berkesan. Pasangkan pelembap udara pada waktu siang semasa anak berjaga dan gunakan ia di dalam bilik apabila mereka tidur di malam hari.

    Jika tidak mempunyai pelembap udara, anda boleh membiarkan anak duduk di dalam bilik air sambil memasang air pancuran panas. 

    Kaedah ini juga boleh membantu mengurangkan halangan pada saluran pernafasan, menipiskan kahak dan memudahkan anak bernafas.

    Madu, antara cara menghilangkan batuk kahak bayi  

    Salah satu cara hilangkan kahak bayi 1 tahun dan ke atas yang boleh dicuba adalah dengan mencampurkan madu bersama air suam dan lemon.

    Madu boleh melawan jangkitan kerana sifat semula jadinya yang menyekat bakteria. Selain itu, ia juga merupakan cara berkesan membantu melegakan sakit tekak.

    Namun elakkan memberi madu kepada si kecil di bawah usia setahun kerana berisiko mengalami botulisme (keracunan makanan).

    Pengambilan cecair, salah satu cara menghilangkan batuk kahak bayi

    cara menghilangkan batuk kahak bayi
    Ibu menyusukan bayinya.

    Mengekalkan kelembapan badan adalah penting jika anak mengalami batuk berkahak. Cecair mengekalkan saluran udara lembap dan membantu badan melawan penyakit, sekali gus dapat menipiskan kahak.

    Jadi pastikan anda memberikan air, susu ibu atau susu formula lebih kerap apabila si manja tidak sihat dan batuk berkahak.

    Tetapi pastikan anda tidak memberikan air masak kepada bayi di bawah usia 6 bulan kerana boleh mengakibatkan hiponatremia.

    Cara hilangkan batuk berkahak budak #Tinggikan kepala

    Meninggikan kepala bayi semasa tidur berkesan dalam mencegah titis postnasal dan membantu merangsang batuk yang dapat menyingkirkan kahak.

    Berbanding berbaring secara rata, lendir lebih berkemungkinan terkumpul pada bahagian belakang tekak, menyebabkan kahak lebih sukar dikeluarkan.

    Namun, penggunaan bantal yang terlalu tinggi amat perlu dielakkan kepada bayi di bawah usia setahun. Ini kerana ia boleh menjejaskan perkembangan tulang belakang anak.

    Air garam (saline), cara menghilangkan batuk kahak bayi 

    cara menghilangkan batuk kahak bayi
    Air saline untuk hilangkan kahak.

    Salah satu cara untuk merawat batuk berkahak yang dialami si manja adalah dengan menggunakan titisan garam fisiologi. 

    Ia berfungsi membersihkan hidung, mencairkan kahak dalam tekak dan membantu memudahkan anak untuk batuk terutamanya sebelum tidur.

    Titisan air garam ini bermanfaat apabila anak selesema, kerana ia membantu melembutkan lendir dan memudahkan untuk mengeluarkannya.

    Untuk mencuba kaedah ini, condongkan kepala anak ke belakang dan picitkan titisan air garam ke dalam setiap lubang hidung. Ulanginya mengikut keperluan.

    Akhir kata

    Masalah batuk pada si kecil adalah keadaan biasa. Ia boleh berlanjutan untuk tempoh yang lama. 

    Namun anda boleh membantu mengurangkan gejalanya dengan mencuba cara menghilangkan batuk kahak bayi yang dikongsikan di atas.

    Peringatan!

    Elakkan memberi sebarang ubat tanpa preskripsi (ubat farmasi atau over-the-counter) kepada anak tanpa berunding dengan doktor terlebih dahulu.

    Sekiranya gejala tidak bertambah baik, bahkan menjadi lebih teruk, bawa anak untuk melakukan pemeriksaan doktor dengan segera.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada seminggu lalu

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan