backup og meta

Ahli Keluarga Ada Menghidap Alahan? Ini Cara Terbaik Untuk Bersihkan Rumah

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 17/01/2023

    Ahli Keluarga Ada Menghidap Alahan? Ini Cara Terbaik Untuk Bersihkan Rumah

    Individu yang menghidap penyakit alergi pasti tahu, betapa pentingnya persekitaran yang bersih untuk membantu mengawal alahan. Oleh sebab itu, kami ingin kongsikan beberapa tip membersihkan rumah yang mungkin berguna untuk anda.

    Kadangkala, membersihkan rumah daripada debu dan habuk sahaja tidak mencukupi. Penghidap alahan juga perlu peka terhadap jenis pencuci yang digunakan.

    Banyak produk pencuci mengandungi bahan seperti pewangi yang boleh mencetuskan simptom yang seakan-akan alahan.

    Apabila anda menghidap alahan, sukar untuk anda membersihkan rumah tanpa bantuan sesiapa. Oleh sebab itu, minta bantuan anak-anak atau pasangan untuk membantu anda ketika mengemas rumah.

    Di bawah, kami senaraikan beberapa tip membersihkan rumah untuk mereka yang mempunyai penyakit alahan:

    1. Pastikan anda mempunyai jadual bersihkan rumah

    Cuba pastikan anda bersihkan rumah seminggu sekali untuk mengelakkan debu, habuk dan debunga berkumpul pada celah-celah perabot anda.

    Jika anda mempunyai alahan, penting untuk anda memastikan rumah anda selamat dan selesa. Jika anda rasa penat untuk melakukan aktiviti membersihkan rumah setiap minggu, cuba lakukannya sedikit demi sedikit.

    Fokus pada satu bahagian rumah setiap hari. Anda juga boleh membuat jadual supaya kerja mengemas jadi lebih mudah dan tidak membebankan.

    2. Gunakan vacuum untuk bersihkan rumah

    penyakit alahan

    Penyedut hampagas atau vacuum merupakan alat yang perlu dimiliki oleh semua orang yang mempunyai alahan.

    Alat ini bukan sahaja mempunyai fungsi yang pelbagai, ia juga dapat menyedut lebih banyak habuk dan membersihkan rumah dengan lebih berkesan.

    Kadangkala, menyapu lantai menggunakan penyapu akan membuatkan alahan jadi semakin teruk. Hujung penyapu bukan sahaja boleh mengumpulkan debu, malah habuk juga akan terbang ke seluruh rumah ketika anda sedang menyapu lantai.

    Selain itu, pilih penyedut hampagas yang dilengkapi dengan penapis HEPA. Vacuum jenis ini mampu menyedut lebih banyak habuk, debu, bulu haiwan peliharaan dan debunga yang melekat pada perabot atau karpet anda.

    Jika anda menggunakan penyedut hampagas tanpa beg, pastikan anda bersihkan bekas pengumpulan habuk dengan kerap.

    3. Lap habuk di rumah setiap minggu

    Salah satu tip membersihkan rumah yang berguna untuk penghidap alahan ialah penggunaan kain mikrofiber untuk mengelap habuk pada perabot anda.

    Sama seperti penyapu, penggunaan bulu ayam hanya akan membuatkan debu tersebar dengan lebih teruk pada kawasan rumah anda. 

    Lebih baik jika anda gunakan kain mikrofiber yang boleh memerangkap debu tersebut dan membersihkan rumah dengan lebih berkesan.

    Pilih kain mikrofiber yang tahan lasak dan boleh dibasuh selepas digunakan. Periksa juga peralatan yang datang bersama kain tersebut. Pastikan ia boleh ditanggalkan dan mesra pengguna.

    4. Basuh alas tilam dan sarung bantal seminggu sekali

    Jangan lupa basuh alas tilam dan sarung bantal anda seminggu sekali. Walaupun ia nampak bersih, alas tilam anda mungkin dipenuhi oleh habuk, debu dan bulu kucing yang tak nampak dek mata kasar.

    Malah, jika anda selalu meluangkan masa berbaring di atas katil, mungkin anda secara tidak sengaja telah membawa benda asing seperti makanan atau pasir daripada luar dan mengotori tilam anda.

    Basuh alas tilam dan sarung bantal seminggu sekali bukan sahaja baik untuk alahan, ia juga mungkin mempunyai faedah yang tersendiri terhadap kulit anda.

    5. Bersihkan sekali langsir atau tirai di rumah anda

    penyakit alahan

    Tingkap dan langsir merupakan tempat pengumpulan debu yang paling banyak dan sukar untuk dibersihkan. Jika langsir anda sukar ditanggalkan, cuba gunakan penyedut hampagas untuk menanggalkan semua debu yang terdapat pada permukaan langsir.

    Namun, jika ia boleh dicuci dengan mesin basuh, pastikan anda mencucinya sekurang-kurangnya sebulan sekali.

    Jika anda menggunakan tirai yang diperbuat daripada plastik, gunakan kain mikrofiber untuk membersihkannya secara berkala.

    Jika anda ingin membersihkan tirai dengan lebih pantas, tidak ada salahnya jika anda berbelanja lebih untuk membeli pembersih tirai!

    6. Elakkan alahan, gunakan alatan yang betul

    Kepada semua penghidap penyakit alahan, pastikan anda gunakan alatan yang betul semasa membersihkan rumah. Jangan lupa pakai pelitup muka dan sarung tangan.

    Perhatikan juga pencuci lantai yang anda gunakan. Jika anda mempunyai alahan, jangan gunakan pencuci yang mempunyai pewangi. Cuba cari bahan pencuci yang lebih selamat dan mesra alahan.

    Setelah seharian mencuci rumah, tinggalkan kawasan yang baru dibersihkan untuk beberapa jam. Amalan ini boleh mengurangkan reaksi alahan yang bakal anda alami nanti.

    7. Kurangkan alergen di kawasan rumah

    penyakit alahan

    Membersihkan rumah akan jadi lebih mudah jika anda tidak mempunyai sebarang produk atau item yang mencetuskan alahan di dalam rumah anda.

    Sebagai contoh, elakkan menggunakan lilin atau penyembur pewangi di dalam kawasan rumah. Selain itu, elakkan juga membuka tingkap jika anda duduk di kawasan yang berdebu atau di tengah bandar.

    Cuba disiplinkan diri untuk tidak menyepahkan rumah dengan barang. Semua item ini boleh memerangkap debu dan menyebabkan anda lebih berisiko untuk mengalami alahan.

    Kesimpulan

    Jika anda menghidap penyakit alahan, pastikan anda mengikuti tip membersihkan rumah yang kami berikan di atas. Mana tahu, ia mungkin berkesan untuk mengelakkan serangan alahan pada masa hadapan!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 17/01/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan