backup og meta

Jangan Biar Kulat Tumbuh Berleluasa Di Kawasan Rumah, Boleh Buat Anda Jatuh Sakit!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 12/10/2022

    Jangan Biar Kulat Tumbuh Berleluasa Di Kawasan Rumah, Boleh Buat Anda Jatuh Sakit!

    Alahan terhadap kulat merupakan satu jenis alergi yang tidak boleh dipandang rendah. Cuba periksa kawasan rumah anda, ada berapa banyak tempat yang mempunyai pertumbuhan kulat?

    Selalunya, kulat ada di kawasan rumah berwarna hitam atau putih, dan akan tumbuh pada kawasan yang lembap dan berair.

    Kulat boleh tumbuh secara semula jadi pada mana-mana bahagian rumah anda. Walau bagaimanapun, ada beberapa jenis kulat yang boleh membuatkan anda jatuh sakit atau diserang alergik kulit, terutamanya jika anda mempunyai alahan atau asma.

    Kulat boleh menyebabkan anda rasa gatal-gatal mata, hidung, kulit dan tekak. Jika rumah anda mempunyai masalah kulat, anda perlu lakukan sesuatu untuk menanganinya.

    Apa itu alahan terhadap kulat?

    jenis alahan

    Individu yang sensitif terhadap kulat boleh mengalami reaksi alahan seperti kerap bersin, hidung berair, mata merah dan alergik kulit jika mereka terhidu atau tersentuh kulat.

    Malah, ada individu yang mempunyai alahan kulat yang serius dan boleh mengancam nyawa. Dalam kalangan pesakit yang mempunyai asma, spora yang terdapat pada kulat boleh membuatkan mereka terkena serangan lelah yang serius.

    Kulat yang tumbuh di kawasan rumah selalunya berbeza dengan kulat yang tumbuh di kawasan semula jadi. Di mana ada kelembapan, di situ selalunya ada kulat yang tumbuh.

    Malangnya, kawasan rumah bukanlah tempat yang asing untuk kulat tumbuh secara berleluasa.

    Kebanyakan tempat yang ditumbuhi kulat mempunyai ventilasi yang kurang baik. Rumah yang mempunyai kebocoran air dan kerap dilanda banjir juga amat berisiko untuk ditumbuhi kulat.

    Kulat ini akan bertindak menyebarkan biji benih kecil yang dikenali sebagai spora.

    Spora inilah yang akan menghasilkan bahan toksik yang dikenali sebagai myotoksin. Sebab itulah, ada beberapa jenis kulat yang boleh menyebabkan alahan.

    Kulat ini juga dikenali dengan nama kulat bertoksik.

    Simptom pendedahan terhadap kulat

    jenis alahan

    Kebanyakan manusia mempunyai alahan kulat yang bersifat sederhana.

    Walau bagaimanapun, kulat boleh membuatkan bayi, kanak-kanak, orang tua dan mereka yang mempunyai sistem imun yang terjejas mengalami simptom alahan yang serius.

    Lebih merisaukan, simptom alahan kulat akan jadi semakin teruk apabila individu tersebut terdedah dengan kulat dalam satu jangka masa yang panjang.

    Sebenarnya, ada banyak masalah kesihatan yang mungkin berlaku disebabkan kulat di rumah anda. Sebagai contoh:

    1. Alahan disebabkan kulat

    Anda mungkin mengalami alahan kepada kulat jika anda kerap bersin dan mengalami hidung berair. 

    Masalah utama berkaitan alahan kulat tidak seperti debunga, bulu haiwan atau bahan alergen yang lain, kulat sukar untuk dikenal pasti dan kadangkala tidak nampak dengan mata kasar.

    2. Selalu diserang asma

    Jika anda mempunyai penyakit asma, kehadiran kulat pada kawasan rumah boleh membuatkan serangan berlaku dengan lebih kerap.

    Selain itu, kanak-kanak yang masih kecil pula boleh menghidap asma jika mereka terdedah dengan alergen seperti kulat sejak kecil.

    3. Alahan kulat sebabkan masalah pernafasan

    Kulat mengandungi myotoksin, sejenis racun yang berbahaya jika ia memasuki sistem pernafasan anda. 

    Untuk pengetahuan anda, myotoksin boleh menyebabkan masalah seperti kesukaran bernafas, sakit dada dan pendarahan pada kawasan paru-paru jika ia tidak dikenal pasti sejak awal.

    4.   Alami masalah alergik kulit

    Mereka yang kerap tersentuh kulat pula boleh mengalami ruam gatal, dermatitis atau jangkitan kulat pada kawasan kulit kepala, yang boleh menyebabkan rambut gugur.

    5.   Kesan alahan terhadap kesihatan mental

    jenis alahan

    Alahan terhadap kulat bukan sahaja akan mempengaruhi kesihatan fizikal anda, ia juga boleh menyebabkan kesihatan mental anda merosot!

    Orang dewasa yang mengalami alahan terhadap kulat telah melaporkan mengalami episod hilang ingatan apabila terdedah dengan kulat pada konsentrasi yang amat tinggi. 

    Malah, kanak-kanak juga boleh mengalami masalah pembelajaran jika kerap terdedah pada kulat.

    Kesan yang menakutkan ini boleh terjadi kerana myotoksin mempunyai kelebihan untuk terus masuk ke bahagian otak setelah pesakit bertindak menghidu kulat tersebut. 

    Kesimpulan

    Alahan terhadap kulat merupakan satu perkara yang mungkin ramai orang tidak ambil kisah. Ia merupakan satu masalah yang serius dan boleh mempengaruhi kualiti hidup anda jika tidak ditangani daripada awal.

    Jika anda mengalami simptom alahan setelah terdedah dengan kulat, pastikan anda berjumpa doktor untuk sesi konsultasi dan nasihat.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 12/10/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan