backup og meta

10 Tip Pemakanan & Petua Senaman Bagi Kaum Hawa Selepas Buang Barah Payudara

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 19/10/2022

    10 Tip Pemakanan & Petua Senaman Bagi Kaum Hawa Selepas Buang Barah Payudara

    Penting bagi anda untuk mengetahui bagaimana cara ideal untuk menjaga diri seusai menjalani pembedahan kanser payudara misalnya mengambil makanan selepas pembedahan yang betul.

    Tahap kesihatan selepas rawatan kanser perlu dipantau dan dijaga secara teliti bagi memastikan kualiti hidup berada pada paras yang optimum.

    Teruskan membaca sekiranya anda ingin tahu dengan lebih lanjut berkenaan dengan tip penjagaan diri selepas pembedahan kanser payudara.

    Artikel ini akan memfokuskan kepada makanan selepas pembedahan dan tip senaman yang boleh dijadikan amalan.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser sila dapatkannya di sini.

    Jenis makanan selepas pembedahan wajar diberi perhatian

    Mual dan muntah selepas pembedahan lazim dialami oleh penghidap kanser.

    Ia juga sering dikaitkan dengan rawatan yang melibatkan penggunaan terapi kemo dan radiasi untuk membunuh sel barah.

    Selain daripada dua simptom tersebut, penghidap juga boleh mengalami gejala lain seperti hilang selera makan dan wasting syndrome.

    Perkara ini boleh mempengaruhi tahap kesihatan memandangkan aspek pemakanan merupakan elemen penting dalam kesembuhan selepas rawatan kanser.

    Bagi mengatasi masalah ini, beberapa langkah boleh diambil:

    • Ubah tabiat makan. Elakkan daripada mengambil tiga hidangan besar setiap hari. Sebaliknya, anda boleh makan dalam kuantiti kecil secara kerap
    • Jika anda tidak boleh mengambil makanan pepejal, cuba ambil minuman protein dan yogurt
    • Ambil sup ayam, ikan atau sayur, sekiranya anda tidak mempunyai selera makan

    Pastikan anda mengambil makanan selepas pembedahan berprotein 

    makanan selepas pembedahan

    Selepas pembedahan kanser payudara, tubuh anda memerlukan lebih banyak protein daripada biasa.

    Peningkatan keperluan ini berlaku berikutan badan memerlukan sumber nutri makro tersebut untuk membaiki sel, melawan jangkitan dan menyembuhkan luka pembedahan.

    Anda boleh:

    • Ambil susu atau tambahkan serbuk protein bersama dengan makanan yang anda ambil mengikut kesesuaian semasa
    • Makan snek yang mengandungi jumlah protein yang tinggi seperti kacang badam dan keju

    Jumlah kalori yang perlu diambil selepas pembedahan mungkin mengelirukan anda.

    Bukan semua individu tahu mengira keperluan kalori masing-masing. Dalam situasi tersebut, anda boleh memfokuskan kepada kandungan nutrisi di dalam makanan.

    Ambil protein secukupnya dan badan anda akan pulih dalam masa yang singkat.

    Diet anti-kanser, amalkan ia sepanjang hayat

    Berikut adalah beberapa garis panduan yang boleh anda gunakan untuk merancang diet anti kanser.

    Anda juga boleh berbincang dengan pakar diet yang bertauliah bagi mengetahui pelan makanan selepas pembedahan kanser payudara. 

  • Ambil makanan selepas pembedahan yang mengandungi protein rendah lemak, seperti ayam panggang dan ikan bakar, bukannya stik, itik atau daging tinggi lemak lain
  • Pastikan anda mengambil sekurang-kurangnya 5 hidangan makanan berserat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan setiap hari
  • Elakkan daripada mengambil makanan yang diproses. Ini termasuklah sosej, ham dan daging salai
  • Elakkan daripada mengambil nasi putih atau roti putih. Gantikan kedua-duanya dengan nasi perang dan roti berserat
  • Kurangkan pengambilan alkohol. Jangan ambil minuman ini lebih daripada dua sehari
  • Senarai di atas hanyalah tip dan contoh yang boleh diamalkan oleh penghidap kanser payudara secara umum.

    Jika ingin mengamalkan sebarang jenis diet, pastikan anda berbincang dengan doktor terlebih dahulu.

    Ini kerana, kesesuaian jenis makanan selepas pembedahan mungkin berbeza mengikut rawatan dan keadaan kesihatan semasa.

    Senaman penting bagi menjamin tahap kesihatan optimum penghidap kanser

    makanan selepas pembedahan

    Kajian menunjukkan terdapat kaitan di antara berat badan dan risiko untuk kanser payudara berlaku kembali.

    Oleh sebab senaman merupakan salah satu elemen penting selain pemakanan untuk mengawal berat badan, mereka yang menghidap kanser wajar mempertimbangkannya sebagai langkah pencegahan.

    Senaman bukan sahaja boleh mempengaruhi mood dan kesihatan mental individu, ia juga boleh mencegah kanser lain terutamanya yang berkait dengan berat badan berlebihan.

    Rawatan kanser seperti terapi kemo dan radiasi serta pembedahan boleh menyebabkan kelesuan.

    Namun, kebanyakan pakar gemar menggalakkan pesakit mereka untuk bersenam walaupun dengan hanya berjalan kaki di sekeliling blok.

    Ia boleh meningkatkan stamina dan mengembalikan tenaga yang hilang akibat daripada kesan sampingan rawatan kanser.

    Namun, bukan setiap individu boleh melakukan semua jenis senaman. Sebab itu, pastikan anda berbincang dengan doktor terlebih dahulu untuk mengelakkan kesulitan kelak.

    Pilih senaman yang menyeronokkan

    Jika tidak suka berlari, jangan paksa diri anda untuk berjoging. Jika tidak suka mengangkat berat, jangan paksa diri anda melakukan aktiviti sedemikian.

    Tabiat suka bersenam perlu diterapkan supaya ia menjadi amalan jangka masa panjang memandangkan ia boleh memberikan pelbagai jenis kebaikan kesihatan.

    Mula daripada senaman ringan seperti berjalan, berjoging, berenang dan sebagainya.

    Jangan paksa diri anda untuk melakukan perkara di luar kemampuan terutamanya jika baru sahaja sembuh daripada pembedahan kanser payudara.

    Selepas anda sudah biasa, tingkatkan intensiti senaman kepada yang lebih berat. Mungkin anda ingin bermaraton di sekitar tempat tinggal atau ingin mengangkat berat di gim.

    Apa yang penting, anda perlu lakukan aktiviti yang diminati untuk terus konsisten bersenam.

    Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyarankan setiap individu untuk bersenam (intensiti sederhana) sekurang-kurangnya 150 minit seminggu.

    Anda boleh bahagikan rutin senaman kepada 30 minit sehari dan lakukannya pada kekerapan 5 hari seminggu.

    Paling tidak, jika terlalu sibuk, anda boleh bersenam di hujung minggu namun, tingkatkan intensiti senaman atau pastikan anda melebihi had 150 minit seminggu.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 19/10/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan