backup og meta

Betul Ke Kanser Testis Boleh Berpunca Daripada Bijirin, Kopi Dan Rempah Ratus? Ini Penjelasannya

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 17/05/2021

    Betul Ke Kanser Testis Boleh Berpunca Daripada Bijirin, Kopi Dan Rempah Ratus? Ini Penjelasannya

    Setakat ini tiada lagi diet yang terbukti berkesan untuk merawat atau menghindarkan kanser testis (kanser buah zakar).

    Namun, ia tidak bermakna faktor pemakanan tidak penting dalam memahami punca di sebalik berlakunya kanser tersebut.

    Sememangnya pengambilan makanan tertentu boleh menyebabkan kesan negatif terutamanya apabila ia diambil dalam kuantiti yang banyak.

    Oleh sebab kanser testis tidak selazim kanser prostat yang sering didiagnosis dalam kalangan lelaki berusia, kajian berkaitan dengan faktor risiko kanser testis masih sedang giat dijalankan.

    Setakat ini, pemakanan seimbang boleh membantu mempercepatkan proses pemulihan pesakit kanser testis yang sedang menjalani rawatan.

    Namun, bagaimana pula dengan mereka yang belum didiagnosis dengan masalah kanser? Teruskan membaca untuk tahu dengan lebih lanjut.

    Trend peningkatan kanser buah zakar semakin membimbangkan

    Ramalan yang dikeluarkan oleh Persatuan Kanser Amerika (ACS) bagi statistik kanser testis (untuk tahun 2020) adalah seperti berikut:

    1. Dianggarkan 9,610 kes baharu kanser testis bakal didiagnosis.
    2. Jumlah kematian bakal mencecah 440.

    Saban tahun, insiden bagi masalah barah testis meningkat secara perlahan-lahan di kebanyakan negara termasuklah Amerika Syarikat.

    Meskipun begitu, kanser testis bukanlah sejenis barah yang lazim didiagnosis dalam kalangan lelaki seumur hidup mereka.

    Hanya 1 daripada 250 lelaki yang akan mengalami keadaan kesihatan ini.

    Walau bagaimanapun, kadar survival bagi tempoh 5 tahun untuk pesakit kanser testis agak tinggi (secara puratanya sekitar 90%).

    Kemajuan teknologi perubatan telah membolehkan keadaan kesihatan ini dirawat menyebabkan kadar kematiannya rendah pada nisbah 1 dalam 5,000 pesakit.

    Kaitan di antara pemakanan dan kanser testis masih tidak jelas

    kanser buah zakar

    Sekitar tahun 2006, kajian yang dijalankan di Universiti Halle-Wittenberg telah menunjukkan peningkatan risiko kanser terhadap mereka yang kerap minum susu.

    Oleh sebab kanser testis lazim didiagnosis dalam kalangan pesakit yang berusia di antara 20 hingga 35 tahun (golongan muda), proses patologinya pasti bermula lebih awal daripada usia tersebut.

    Menurut pengkaji, pengambilan susu sekurang-kurangnya 20 hidangan sebulan boleh meningkatkan risiko kanser buah zakar setinggi 37%.

    Kenyataan ini disokong oleh kajian yang telah diterbitkan oleh Institut Kanser Negara, Amerika Syarikat pada tahun 2012.

    Lihat sahaja negara-negara di utara benua Eropah.

    Makanan tenusu seperti keju merupakan makanan kegemaran penduduk di situ dan negara-negara tersebut sering dikaitkan dengan insiden barah testis yang tinggi.

    Orang Asia dan Afrika pula cenderung untuk mendapat masalah intoleransi laktosa, maka insiden kanser testis dalam kalangan populasi tersebut agak rendah. 

    Menurut kajian itu lagi, walaupun pembuktian yang cuba disampaikan kelihatan signifikan, dapatan yang diperolehi masih belum lagi definitif.

    Masih terdapat percanggahan berkaitan dengan pengambilan produk tenusu terhadap risiko kanser testis.

    Sebagai contoh, kajian di Amerika Utara oleh Universiti Ottawa pada tahun 2003 menunjukkan risiko kanser buah zakar tinggi apabila pengambilan keju meningkat.

    Walau bagaimanapun, kajian yang dijalankan oleh Jabatan Epidemiologi dan Kesihatan Populasi, United Kingdom tidak memperolehi dapatan yang sama.

    Ochratoxin A, berpotensi sebabkan kanser testis

    kanser testis

    Ochratoxin A adalah sejenis toksin yang dihasilkan secara semula jadi oleh kulat.

    Ia boleh dijumpai pada bijirin, produk sayuran dan bahan makanan lain seperti biji kopi, kekacang dan rempah ratus.

    Selain itu, toksin ini juga terkandung di dalam daging babi yang diberi makan produk tumbuhan berkulat.

    Bukti ochratoxin A boleh menyebabkan kanser datang daripada eksperimen yang melibatkan penggunaan tikus makmal sebagai subjek.

    Pendedahannya terhadap sumber makanan atau janin yang masih berada di dalam perut ibu boleh menyebabkan mutasi pada maklumat genetik testikel sehingga menggalakkan pertumbuhan sel kanser.

    Walaupun keadaan ini boleh jadi sama dengan manusia, namun kajian lanjut perlu dilakukan bagi memahami mekanisme di sebaliknya.

    Manusia mungkin mempunyai tindak balas yang berlainan apabila ia berkaitan dengan pendedahan terhadap sumber ochratoxin A.

    Dapatan kajian haiwan tersebut sememangnya telah membuka ruang dan peluang baharu kepada saintis dalam usaha untuk memahami punca berlakunya kanser testis.

    Namun tanpa bukti kukuh, ia tidak boleh dianggap lebih daripada hipotesis semata-mata.

    Konklusi

    Setakat ini, masih tiada lagi bukti kukuh yang mengaitkan pengambilan sesuatu makanan terhadap risiko kanser buah zakar.

    Walau bagaimanapun, anda perlu faham bahawa amalan pemakanan sihat boleh membantu anda menurunkan risiko untuk mendapat kanser.

    Mungkin terdapat kajian yang menunjukkan pengambilan bahan tenusu boleh meningkatkan risiko kanser namun dapatannya masih belum definitif.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 17/05/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan