backup og meta

Kesan Sampingan Vaksin AstraZeneca Amat Rendah, Rakyat Diseru Jangan Bimbang!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada seminggu lalu

    Kesan Sampingan Vaksin AstraZeneca Amat Rendah, Rakyat Diseru Jangan Bimbang!

    Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) diteruskan lagi dengan pemberian vaksin AstraZeneca melalui fasiliti COVAX. Jika anda mengikuti perkembangan vaksin di dalam dan luar negara, pasti anda tahu berkenaan kesan sampingan vaksin ini yang boleh menyebabkan masalah penggumpalan darah.

    Malah, pada 17 Mac lalu, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) telahpun berjumpa dengan syarikat pengeluar vaksin AstraZeneca untuk berbincang mengenai keselamatan vaksin tersebut.

    Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, pihak AstraZeneca telah menjelaskan mengenai kesan sampingan penggumpalan darah selepas menerima suntikan vaksin.

    Hal ini turut disokong oleh European Medicines Agency (EMA) yang telah mengumumkan bahawa darah beku dengan bilangan platelet yang rendah harus disenaraikan sebagai salah satu kesan sampingan vaksin AstraZeneca yang amat jarang berlaku.

    Denmark juga telah menghentikan pemberian vaksin AstraZeneca disebabkan kerisauan negara itu mengenai kesan sampingan tersebut.

    Disebabkan keputusan ini, pemberian vaksin di negara tersebut mungkin akan mengalami kelewatan selama beberapa minggu.

    Walau bagaimanapun, Malaysia masih akan meneruskan pengambilan vaksin AstraZeneca untuk warga emas berumur 60 tahun ke atas selain vaksin Pfizer dan Sinovac.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang coronavirus di Malaysia, sila dapatkannya di sini.

    Vaksin AstraZeneca dan penggumpalan darah

    pemberian vaksin

    Beberapa negara Eropah telah pun menghentikan penggunaan vaksin AstraZeneca sebagai vaksin COVID-19, bagi langkah berjaga-jaga.

    Namun, masih ada juga negara Eropah lain yang meneruskan penggunaan vaksin ini di dalam program mereka.

    Untuk pengetahuan anda, masalah darah beku yang paling berbahaya dikenali dengan nama cerebral venous sinus thromboses (CVST). 

    Ia berlaku di dalam vena yang membawa darah keluar daripada otak. CVST juga merupakan satu kondisi yang boleh membawa maut.

    Selain itu, darah beku boleh berlaku pada kawasan abdomen (splanchnic vein thrombosis atau SVT) di dalam arteri.

    Dalam kebanyakan pesakit, darah beku ini berlaku sekali dengan thrombocytopenia, satu kondisi yang menandakan jumlah platelet yang rendah dan boleh menyebabkan pendarahan.

    European Medicine Agency telah memantau 62 kes CVST dan 24 kes SVT yang dilaporkan di Eropah sehingga 22 Mac 2021. Daripada kes ini, 18 orang pesakit telah meninggal dunia.

    Walau bagaimanapun, risiko penggumpalan darah adalah sangat rendah. Sebanyak 190 juta dos vaksin telah diberikan di seluruh dunia, tetapi hanya 182 sahaja kes penggumpalan darah yang telah dilaporkan.

    Dr. Adham juga mengakui bahawa telah banyak penilaian terperinci yang dilakukan oleh syarikat dan badan lain di seluruh dunia.

    Mereka merumuskan tidak ada sebarang bukti kukuh yang dapat membuktikan bahawa pengambilan vaksin AstraZeneca menyebabkan penggumpalan darah yang dialami pesakit.

    Menurut EMA lagi, kebanyakan kes darah beku ini berlaku dalam kalangan wanita yang berusia 60 tahun ke bawah dalam masa 2 minggu selepas vaksinasi.

    Walau bagaimanapun, tiada peningkatan risiko dalam kalangan warga emas yang menerima vaksin tersebut. 

    Oleh sebab itu, ada negara yang mengambil keputusan untuk menghentikan pemberian vaksin tersebut kepada golongan yang lebih muda.

    Perlukah kita risau mengenai vaksin AstraZeneca?

    pemberian vaksin

    Agensi Kawal Selia Produk Ubat dan Kesihatan United Kingdom (MHRA) telahpun melakukan tinjauan mereka yang tersendiri terhadap 79 laporan masalah darah beku yang disebabkan oleh vaksin AstraZeneca.

    Pada masa yang sama, hampir 20.2 juta vaksin AstraZeneca telah diberikan kepada orang ramai. Setelah melakukan pengiraan, risiko darah beku ialah 4 daripada 1,000,000 penerima vaksin!

    Semua ubat-ubatan termasuklah paracetamol dan juga ibuprofen mempunyai kesan sampingannya yang tersendiri, namun kita tetap menggunakannya di dalam kehidupan seharian.

    Wanita yang mengambil pil kontraseptif oral sebenarnya mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami darah beku iaitu 1 dalam 2,000 orang. Tetapi, adakah mereka menghentikan pengambilan ubat tersebut?

    Sudah tentulah tidak! Malah, risiko jika tidak mengambil pil ini iaitu kehamilan secara tidak sengaja mempunyai kesan yang lebih besar.

    Kehamilan yang tidak dirancang juga mempunyai risiko darah beku yang lebih tinggi berbanding pengambilan pil kontraseptif.

    Tiada bukti vaksin menyebabkan darah beku

    Sebagai rakyat, perlukah kita risau mengenai kesan sampingan vaksin AstraZeneca ini?

    Untuk pengetahuan anda, hingga hari ini, masih belum ada lagi sebarang bukti yang menunjukkan bahawa vaksin ini merupakan punca darah beku yang dialami pesakit.

    Walau bagaimanapun, sebagai seorang yang cakna, kita haruslah tahu informasi yang sebenar dan tepat mengenai vaksin AstraZeneca ini untuk mengelakkan kita tertipu dengan berita-berita lain yang tersebar di laman sosial.

    Malah, badan-badan besar seperti EMA dan WHO kedua-duanya bersetuju bahawa kebaikan yang dibawa oleh vaksin AstraZeneca lebih besar berbanding risiko kesan sampingannya yang rendah. 

    pemberian vaksin

    Malah, vaksin ini juga didapati sangat efektif dan mampu menghalang virus COVID-19. Bukan itu sahaja, pemberian vaksin ini juga boleh menyelamatkan nyawa dan mengelakkan kemasukan ke hospital.

    Oleh sebab itu, jangan takut dengan suntikan vaksin AstraZeneca. Marilah kita terus menyokong Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan elakkan tindakan memilih vaksin.

    Di seluruh dunia, kita mampu menghalang hampir 5% kematian setiap minggu, semuanya disebabkan oleh pemberian vaksin!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada seminggu lalu

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan